Most Read
Most Commented
Read more like this

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa telah menyalahgunakan kuasa mentadbir kerajaan negeri melalui pemberian projek pembinaan jalanraya dan pemberian tanah negeri kepada individu dan syarikat tertentu.

Menurut kertas aduan yang diserahkan oleh aktivis media Ahmad Lutfi Othman kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini, Mohd Khir didakwa menyerahkan pengendalian projek pembinaan jalanraya di Sekinchan kepada sebuah "syarikat bermasalah".

"Menteri Besar melalui Jabatan Kerjaraya Selangor, menganugerahkan projek ini kepada Meram Holding, sebuah kontraktor bermasalah, yang mana tiga projek terakhirnya tidak dapat disiapkan seperti yang dijadualkan dan akhirnya terpaksa projek itu diletakan di bawah kontraktor penyelamat," aduan itu dipetik.

Aduan oleh Lutfi, seorang aktivis Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan penerbit akhbar Cabaran serta laman berita Detik Daily.com kepada ibu pejabat BPR di Putrajaya telah dibuat kira-kira jam 11 pagi tadi.

Lutfi mendakwa Meram Holding sebelum ini gagal menyiapkan dua projek pembinaan Klinik Kesihatan masing-masing di Port Dickson dan Gemas, Negeri Sembilan dan sebuah projek pembinaan sekolah menengah di Pelabuhan Kelang, Selangor, mengikut jangkamasa yang ditetapkan.

Menurutnya dua projek pembinaan klinik itu terpaksa diletakkan di bawah sebuah kontraktor penyelamat iaitu Kayangan Emas untuk disiapkan.

"Berdasarkan temubual dengan beberapa sub-kontraktor yang pernah berurusan dengan Meram, syarikat tersebut sememangnya bermasalah besar dari segi kewangan," aduan dipetik.

Selain itu, Lutfi turut mempertikaikan nilai projek pembinaan jalanraya di Sekinchan yang berjumlah RM 92.5 juta.

Menurutnya BPR perlu mendapatkan tafsiran sebenar kos projek itu kerana nilai projek itu mencecah lebih kurang RM 4.5 juta bagi setiap pembinaan jalan sepanjang satu kilometer adalah "begitu tinggi".

Tambah beliau projek itu juga harus di dahului oleh kajian trafik mengenai perlu atau tidak projek itu dikendalikan.

Pengarah yang sama>

Menteri Besar Selangor itu juga didakwa meluluskan permohonan tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mempunyai pengarah yang serupa.

Aduan itu menyebut, empat syarikat yang setiap satunya mendapat tanah seluas 100 ekar, terdapat seorang individu yang menjadi pengarah kepada semua syarikat itu manakala tiga individu lagi menjadi pengarah kepada dua syarikat lain yang terbabit.

Dalam aduan ketiga, Lufti mempertikaikan pemberian tanah negeri seluas lebih kurang 50 ekar setiap satu kepada empat syarikat yang setiap satunya mempunyai pengarah yang berumur antara 20 hingga 23 tahun.

"Carian saya menunjukkan sebahagian mereka mendiami rumah yang keadaan fizikalnya mendatangkan syak bahawa mereka sebenarnya hanya menjadi penama untuk orang tertentu dan bukannya pemilik sebenar, malah mungkin ada yang langsung tidak tahu tentangnya," aduan itu di petik.

Beliau mendakwa melalui siasatan yang dilakukan, seorang daripada "pengarah muda" itu adalah "anak kepada seorang Pegawai Daerah Negeri Selangor" manakala dua lagi "pengarah muda" masing-masing tinggal di "rumah kampung terpencil" dan "menyewa flat Dewan Bandaraya", sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Lutfi, aduan kepada BPR itu dibuat bagi memastikan wang rakyat tidak dibolot oleh mana-mana pihak secara tidak bertanggungjawab.

"Siasatan BPR diharap dapat menamatkan segala tohmahan buruk kepada Menteri Besar Selangor, jika didapati ia tidak benar ataupun tidak mempunyai fakta yang cukup untuk mensabitkannya," aduan dipetik lagi.

ADS