Most Read
Most Commented
Read more like this

Isu Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina (Suqiu) dihangatkan untuk mengapikan kemarahan orang Melayu dengan nada ugutan dan celaan. Tergambar betapa terdesaknya pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Saya ulangi kenyataan bahawa cara isu ini dimainkan sekian kalinya ialah untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu pokok - pelanggaran hak asasi, rasuah dan kronisme. Walhal jika kita sorot tuntutan Suqiu dengan teliti, permasalahan dasar tersebut telah dibangkitkan.

Rakyat tidak boleh diperbodohkan untuk dijadikan kuda tunggangan pemimpin yang rakus dan rasuah. Kita tidak mahu rakyat bawahan bertempur kononnya untuk mempertahankan hak dan maruah, manakala pemimpin terus menggondol kekayaan dan bersikap angkuh.

Jangan kita jadi Pak Kaduk atau sekadar tukang sorak memekik melolong bengis terhadap orang Cina tanpa terlebih dahulu membaca tuntutan Suqiu tersebut. Pura-pura jadi gagah tetapi membisu tatkala hak rakyat dipijak, rasuah meluas dan penguasa bermaharajalela.

Tahun lalu, Anwar Ibrahim tatkala meneliti tuntutan tersebut di mahkamah, melahirkan rasa bangga kerana keberanian cendekiawan dan lebih 2000 buah persatuan Cina mengungkapkan permasalahan negara ini.

Hal tersebut tidak pernah beliau dengar sebelumnya dalam mesyuarat kabinet atau mesyuarat BN. Beliau anggap sukar sekali pemimpin-pemimpin utama Cina berkenaan membangkitkan isu rasuah dan kronisme.

Secara keseluruhan, tuntutan Suqiu mengarah kepada amalan demokrasi, merangsang pertumbuhan ekonomi dan usaha menegakkan keadilan termasuk memulihkan kewibawaan institusi kehakiman. Mereka menyentuh isu yang dianggap amat sensitif bagi sang penguasa iaitu rasuah, kronisme, nepotisme, projek mega, pembaziran, Akta Keselamatan Dalam Negeri, sekatan terhadap media dan sebagainya.

Sesungguhnya inilah yang memanaskan mereka, bukan isu bahasa atau hak istimewa orang Melayu!

Pada ketika itu lagi Anwar meminta pemimpin Barisan Alternatif melihat secara positif dan menganjurkan wacana terbuka mengupas tuntutan Suqiu. Beliau mencurigai keikhlasan BN yang sekonyong-konyongnya menyambut positif tuntutan tersebut sebagai helah atau gimik politik pilihanraya semata.

Agak mustahil bagi BN menerima mudah gesaan tersebut yang secara langsung mencabar dasar dan amalan mereka. Muslihat mereka terdedah juga akhirnya selepas pilihanraya.

Melayu kian prihatin

Kini dihebahkan kononnya soal bahasa dan hak Bumiputera tercabar. Perlu dijelaskan, pertamanya adalah menjadi hak mana-mana kumpulan menyuarakan pendapat meskipun ada bahagian yang tidak dipersetujui. Pemikiran rakyat tidak boleh dikongkong dan dibelenggu.

Kedua, isu bahasa dan hak istimewa yang dikira sensitif ini dibangkitkan kerana kelemahan dan penyelewengan dalam pelaksanaannya. Bahkan polemik sedemikian bukan sahaja disertai oleh masyarakat Cina kerana lebih ramai juga umat Melayu yang kian prihatin.

Sebab itulah saya kira tuntutan Suqiu akan lebih bermakna seandainya pendekatan lebih bijaksana diolah bagi mengelakkan isu-isu sensitif ini dimainkan oleh penguasa bagi menutup perbahasan isu pokok lainya.

Kami tetap mempertahankan semangat perlembagaan mengenai isu bahasa dan hak keistimewaan Bumiputera. Tetapi kami menolak alasan "kontrak sosial" BN bagi menutup penyelewengan pelaksanaan dan menghalang polemik terbuka.

Tujuan membimbing Bumiputera dan rakyat tercemar apabila kontrak perniagaan, penswastaan, dan saham diagih sewenang-wenangnya kepada keluarga dan kroni.

Dana berbilion-bilion ringgit daripada khazanah negara dan Petronas digunakan untuk menyelamatkan syarikat keluarga dan kroni. Apakah ini yang dimaksudkan dengan hak istimewa atau tindakan berkesan (affirmative action)? Apakah membantu kroni ini lebih utama daripada memberikan biasiswa kepada pelajar miskin?

Atau menghulurkan projek desa, termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak? Perkampungan baru Cina dan estet India? Kita menuntut dasar yang lebih telus dan pengurusan baik yang menjamin peluang kepada Bumiputera di samping kesempatan seluasnya kepada kaum-kaum lain.

Anwar pernah menceritakan bagaimana Jawatankuasa Pelaburan Modal (CIC), sebelum ditubuhkan Suruhanjaya Sekuriti, disalahgunakan untuk mengagih saham 'percuma' daripada syarikat-syarikat Cina kepada syarikat keluarga kroni terpilih. Dengan sendirinya, dana berbilion ringgit dirampas oleh segelintir kecil Melayu atas nama dasar Bumiputera.

Benar, ramai peniaga Cina turut kesal tetapi majoriti umat Melayu juga berasa tertipu dengan amalan rasuah dan kronisme sedemikian. Begitu juga dengan dasar 10 peratus potongan kepada Bumiputera, termasuk golongan yang mampu membeli rumah mewah. Apakah tidak wajar ia diagihkan kepada jumlah pembeli rumah kos sederhana rendah atau rumah murah? Samalah pula halnya dengan anak menteri yang menerima biasiswa walhal anak guru dinafikan.

Kita diriuhkan hal teknologi maklumat dan e-ekonomi tetapi kemudahan komputer di sekolah desa tidak dibekalkan. Peluang pendidikan tinggi di IPT terbatas hinggakan anak-anak Cina yang memperolehi keputusan amat cemerlang tidak memperolehi kesempatan belajar.

Mempertahankan kelemahan

Kelemahan pelaksanaan perlu diakui dan segera diperbetulkan. Beberapa kerat ahli keluarga dan kroni dan bukan Bumiputera membolot kebanyakan peluang. Kepentingan peniaga kecil dan sederhana, petani dan nelayan tidak terbuka dengan sebaiknya. Penyokong yang kurang wibawa atau kelayakan pula diberikan peluang.

Ia diterapkan sebagai satu budaya mempertahankan mediocrity sehingga mereka yang terbaik di kalangan Bumiputera berasa terpinggir hingga ada yang cuba melobi tokoh politik untuk mendapat jawatan profesor. Padahal jawatan tersebut tertakluk kepada kelayakan akedemik, prestasi, penyelidikan dan hasil penerbitan.

Isu bahasa, pendidikan dan sekolah wawasan kini diputarbelitkan oleh pemimpin Umno. Saya ingin ulangi pendirian untuk mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan serta jaminan pembelajaran bahasa ibunda.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tersilap lagi mengecam kononnya sekolah-sekolah Cina menolak Dasar Pendidikan Kebangsaan. Sekolah-sekolah rendah Cina terangkul dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sekolah-sekolah menengah persendirian Cina pula mensyaratkan pelajar-pelajar menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM.

Asalkan Dasar Pendidkan Kebangsaan diterima, kita seharusnya memberi ruang dan galakan kepada pelajar-pelajar mengenali bahasa ibunda mereka termasuk bahasa Cina, Tamil, Iban atau Kadazan.

Prinsip tersebut telah diterima umum. Isu Sekolah Wawasan meledak menjadi masalah semata-mata kerana pemimpin negara terlalu gopoh dan angkuh memaksa rakyat patuh tanpa memberi ruang dialog. Barangsiapa yang berbeza pendapat dianggap pelampau, komunis dan menerima segala kecaman melulu.

Sebenarnya idea Sekolah Wawasan berpunca daripada konsep sekolah perpaduan (integrated school) yang dikemukakan pada 1986. Pada 1987, Anwar mengenepikan cadangan tersebut setelah dipertikaikan oleh kesatuan guru dan Dong Jiao Zong. Pada fahaman kami, perpaduan tidak dapat diterapkan secara paksaan dalam satu skim fizikal. Ia perlu dipupuk melalui kefahaman dan semangat saling menghormati atas kepelbagaian yang wujud.

Pelajar-pelajar perlu digalakkan berinteraksi termasuk menjalankan kegiatan ko-kurikulum, sukan dan sebagainya secara bersama. Dan kami beranggapan keyakinan agama, fahaman budaya dan kesedaran moral dapat membantu meniupkan semangat toleransi, nilai kemanusiaan dan prinsip keadilan.

Kini terdedah sudah kepura-puraan mereka yang mencanangkan perpaduan tetapi apabila terdesak, mereka mula memainkan sentimen kaum dan mengugut rakyat. Rakyat Malaysia daripada semua kaum perlu mengambil pendekatan baru, bermuafakat membina masyarakat yang adil dan tidak membiarkan diri diperkotak-katikkan lagi melalui nafsu penguasa.

Kita tidak harus gentar dengan ugutan dan harus menggunakan hak dan kebebasan dengan bijaksana, berjuang menegakkan keadilan.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL merupakan Presiden Parti Keadilan Nasional

ADS