Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh yang cukup untuk menyingkirkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Press (NST), Datuk A Kadir Jasin.

Menurutnya, bukan mudah untuk menyingkirkan seorang yang sedang memegang kuasa di negara ini.

"Saya tidak fikir Tun Dr Mahathir mahu menyingkirkan Datuk Seri Abdullah. Tun Dr Mahathir cuma melihat dasar-dasar yang diasaskannya diteruskan.

"Tetapi apa yang kehendaki oleh Tun Dr Mahathir itu nampaknya sukar untuk dipenuhi atau dilakukan oleh Perdana Menteri dan barisan kabinetnya," kata Kadir di forum awam bertajuk 'Pak Lah lawan Dr Mahathir: Pertembungan Personaliti atau Krisis dalam Kerajaan' di ibunegara malam tadi.

Dua lagi ahli penal forum anjuran Pusat Pembangunan & Kajian Maklumat Strategik SIRD) itu ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah dan Pengarang Eksekutif Kumpulan The Edge, P Gunasegaram, dengan dipengerusikan oleh pemerhati politik, James Wong.

Kadir juga menganggap krisis Dr Mahathir dengan Abdullah sekarang bukannya pertembungan personaliti kerana kedua-duanya memiliki perwatakan yang berbeza.

Kadir yang juga pemilik syarikat penerbitan Berita Publishing Sdn Bhd, turut mendedahkan bahawa Dr Mahathir memilih Abdullah sebagai Perdana Menteri kerana memenuhi kehendak ahli-ahli Umno.

"Datuk Seri Abdullah dilihat sebagai seorang yang baik dan mampu menstabilkan Umno. Tun Dr Mahathir juga berharap beliau dapat meneruskan dasar-dasar yang telah dilaksanakannya," jelas Kadir lagi.

Orang sekeliling

Sementara itu, Sivarasa mendakwa pertelingkahan di antara Dr Mahathir dan Abdullah disebabkan oleh angkara orang yang berada di sekeliling bekas Perdana Menteri itu.

Ketika ini, katanya, Dr Mahathir mempunyai kelebihan kerana anak Abdullah Kamaluddin dan menantunya Khairy Jamaluddin memberi masalah kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Persoalannya sekarang ialah sejauhmana krisis ini akan pergi? Dapatkah Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah membeli 2.5 juta ahli Umno supaya menyebelahi mereka," katanya.

Gunasegaram pula tidak menganggap berlaku sebarang krisis dalam kerajaan pimpinan Abdullah sekarang.

Menurutnya, kepimpinan dan kerajaan Aabdullah masih kukuh kerana semua menteri kabinet dan menteri besar berdiri teguh di belakangnya.

"Tun Dr Mahathir sebenarnya tidak mahu Abdullah terlalu berkuasa dan beliau tidak mahu kerajaan Abdullah berjaya.

"Tetapi pada pendapat saya, dalam pertembungan antara kedua-dua pemimpin ini, rakyat menyokong Perdana Menteri," tegasnya.