Khairy: Saya akan komen lain kali...
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini enggan mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau dan rakannya seorang ahli perniagaan, Patrick Lim 'memerintah' Terengganu.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini enggan mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau dan rakannya seorang ahli perniagaan, Patrick Lim 'memerintah' Terengganu.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, menantu Perdana Menteri itu berkata: "Saya akan komen lain kali...terima kasih"
Dr Mahathir membuat dakwaan tersebut selepas melancarkan tabung bangunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Kemaman, Terengganu Jumaat lalu.
Bekas Perdana Menteri itu juga dilaporkan sebagai membahasakan Patrick Lim sebagai Patrick Badawi.
Ini merupakan ucapan awam pertama Dr Mahathir selepas kalah dalam pemilihan menjadi perwakilan Umno Kubang Pasu 9 September lalu, yang didakwanya dicemari oleh politik wang dan taktik kotor.
Sementara itu, Kerajaan Terengganu juga menafikan menantu Perdana Menteri, itu dan Patrick Lim "memerintah" dan membolot projek pembangunan di negeri itu.
Tiada campurtangan
Bagaimanapun, Exco Kesihatan dan Islam Hadhari, Datuk Rosol Wahid mengakui Patrick Lim merupakan tenaga utama dalam projek sukan pelancongan lumba perahu layar 'Monsoon Cup' yang membabitkan kos sebanyak RM200 juta yang baru diperkenalkan di negeri itu.
Katanya, ini termasuk kos pembinaan prasarana di kawasan Pulau Duyong yang menjadi tempat berlangsungkan cara perlumbaan kapal layar tersebut yang bertaraf dunia.
Beliau yang dihubungi berkata, Khairy tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan kerajaan negeri termasuk membahagikan projek kepada kawan-kawannya.
Rosol mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kemaman Jumaat lalu yang antara lain mendakwa kerajaan Terengganu sebenarnya diperintah oleh Khairy dan rakannya Patrick Lim, bukan oleh Umno.
Beliau berkata, setiap dasar kerajaan negeri dibincang dan ditentukan sendiri oleh barisan Exco setelah mendapat pandangan dari pelbagai pihak termasuk rakyat terbanyak.
Rosol yang merupakan Setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu juga menolak dakwaan bahawa Khairy sering menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerana menurutnya orang luar selain selain Exco tidak dibenarkan sama sekali menghadirinya.
"Khairy tidak mempunyai pejabat di Terengganu. Beliau juga tidak mendapat sebarang projek dari kerajaan negeri," katanya.
Minta bukti
Sehubungan itu, Rosol mahu Dr Mahathir mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya itu.
Mengenai projek 'Moonson Cup', beliau menjelaskan, Kerajaan Terengganu menyerahkan penganjurannya kepada Patrick Lim kerana ahli perniagaan itu mempunyai pengetahuan dan hubungan luas dalam sukan kapal layar peringkat dunia.
Katanya, setakat ini kerajaan negeri berpuashati dengan penganjuran 'Monsoon Cup' kerana kejohanan itu kini menjadi sebutan di seluruh dunia.
'Monsoon Cup' yang diadakan setiap tahun sejak 2004 di perairan Pulau Duyong, dekat Kuala Terengganu sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke negeri itu.
Rosol menambah, kerajaan negeri hanya memberi Patrick Lim projek 'Monsoon Cup' manakala projek-projek lain negeri itu termasuk projek hartanah dan taman tema di Pulau Wan Man, dekat Kuala Terengganu bernilai RM1 bilion diberikan kepada anak tempatan.
"Tidak ada sebuah syarikat luar Terengganu yang mendapat projek pembangunan bernilai kira-kira RM1 bilion di Pulau Wan Man,"ujarnya.
Proses tender
Projek tersebut membabitkan pembinaan taman tema, dewan konvenyen dan rumah penginapan serta sebuah masjid yang diperbuat dari kristal.
Bagaimanapun, penjelasan Rasol itu ditolak oleh PAS Terengganu yang mendakwa syarikat Patrick Lim turut diberikan kontrak memajukan Pulau Wan Man.
Setiausaha PAS negeri, Yahaya Ali berkata, Patrick Lim mendapat projek membina sebuah taman tema berharga RM249 juta selain Masjid Kristal berharga RM200 juta.
Beliau mendakwa, lebih memeranjatkan semua projek itu diberi tanpa melalui proses tender terbuka dan bertanya mengapa perkara it boleh berlaku?" dakwanya.
Exco Pelancongan dan Pelaburan Terengganu, Datuk Mohamed Awang Tera yang dihubungi bagaimanapun menolak dakwaan Yahya itu dengan menjelaskan, kontraktor utama pembangunan Pulau Duyong dan Pulau Wan Man ialah Perbadanan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Katanya, PMINT kemudiannya mengagihkan projek tersebut kepada kontraktor Terengganu yang lain.
"Saya meminta Yahaya mengemukakan bukti terhadap tuduhan yang mengatakan Patrick Lim yang mendapat projek berkenaan," katanya lagi.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.