Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam bazir wang rakyat

PAS Terengganu menyifatkan projek pelancongan di Pulau Duyong dan Pulau Wan Man bukan sahaja tidak memberi faedah tetapi juga mahu "menjual" pulau itu kepada orang luar.

Setiausaha Pemuda PAS negeri itu, Wan Sakairi Abdullah berkata, "apa yang rakyat Terengganu terutamanya orang Melayu dapat dari projek tersebut."

"Ia sama seperti Monsoon Cup. Kita tengok memang cantik tetapi apa yang kita dapat." katanya ketika dihubungi bagi mengulas pembinaan projek Taman Tamadun Islam berharga hampir RM1 bilion di Pulau Wan Man.

Kontroversi kejohanan kapal layar antarabangsa ini menjadi berbangkit ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu yang mendakwa menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin dan rakannya Patrick Lim menguasai projek-projek di negeri itu. Salah satu daripada rojek yang disahkan dikendalikan oleh Patrick Lim ialah Monsoon Cup.

Projek Taman Tamadun Islam itu mengandungi dewan konvensyen, Masjid Kristal dan beberapa prasarana lain yang bertujuan menarik pelancong luar ke kawasan tersebut.

Wan Sakairi berkata, apa keperluan membina Masjid Kristal yang berharga RM250 juta melainkan hanya untuk bermegah-megah.

"Kami berpendapat projek Taman Tamadun Islam tidak perlu buat masa sekarang dan kerajaan negeri sepatutnya memberi perhatian kepada membasmi kemiskinan yang masih tinggi di kalangan orang Melayu di kampung-kampung," katanya lagi.

Beliau berkata, mungkin kerajaan negeri melaksanakan projek tersebut untuk memberi wang kepada kontraktor-kontraktor kroni mereka.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali pula berkata, duit yang dibelanjakan untuk projek Taman Tamadun Islam itu adalah dari royalti minyak yang ditarik oleh kerajaan Pusat ketika PAS memerintah Terengganu.

"Sepatutnya wang tersebut diagihkan untuk projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat seperti dalam bidang pendidikan dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata, hanya sekumpulan rakyat terutama kontraktor yang rapat dengan Umno mendapat manfaat dari projek tersebut.

Katanya, mengikut perkiraan yang dibuat oleh beberapa kontraktor, harga yang diberikan kepada pemaju projek tersebut sepatutnya jauh lebih rendah daripada yang ditawarkan.

Sementara itu, seorang pegawai Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang menjadi pengurus projek tersebut menolak dakwaan kontraktuar membolot projek tersebut.

"Walaupun pemajunya orang luar tetapi ia dibuat oleh anak tempatan. Tujuh dari sembilan kontraktor utama adalah kontraktor bumiputera anak Terengganu termasuk anak syarikat PMINT sendiri," katanya lagi.

ADS