Ekuiti bumiputera: Kajian Asli tidak berasas, kata PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata hasil kajian Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli) bahawa pegangan ekuiti Bumiputera sudah mencapai 45 peratus adalah tidak betul dan tidak berasas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata hasil kajian Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli) bahawa pegangan ekuiti Bumiputera sudah mencapai 45 peratus adalah tidak betul dan tidak berasas.
Sebaliknya, pemilikan ekuiti bumiputera adalah kira-kira 18 peratus, kata Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) Kelima di Putrajaya hari ini.
Laporan mengenai hasil kajian Asli itu telah disiarkan oleh malaysiakini pada 23 September lalu dan telah mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.
Perdana Menteri berkata, tindakan sekumpulan penyelidik Asli yang membuat penyelidikan berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada sumber kurang sahih itu boleh juga dianggap sebagai tindakan yang kurang bertanggungjawab.
Menurutnya, kajian oleh penyelidik Asli dan hasil penemuannya yang tidak berasas itu boleh menimbulkan pelbagai reaksi yang tidak baik mengenai kedudukan Asli sendiri sebagai "kumpulan pemikir" kepada kerajaan.
Menurut laporan Bernama , Perdana Menteri mempertikaikan hasil kajian Asli itu kerana kaedah yang digunakan oleh badan bukan berteras keuntungan itu, hanya melibatkan 1,000 syarikat.
"Tidak tepat kerana ada beberapa asas yang mereka gunakan itu yang tak betul. Saya diberitahu mereka membuat penyelidikan yang berasaskan 1,000 syarikat sahaja," katanya.
Menurut beliau lagi, jika maklumat tidak betul dan asasnya tidak betul, maka bagaimanakah kesimpulan yang dibuat itu boleh jadi betul.
Timbul pelbagai reaksi
"Jadi bila kesimpulan yang tidak betul itu dijadikan asas perbincangan dalam forum yang diatur oleh Asli, ia akan menimbulkan pelbagai reaksi yang pada saya (adalah) tidak baik," kata Abdullah.
Sebaliknya, beliau berkata maklumat dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan dokumen kerajaan berkaitan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) lalu merupakan kesimpulan sebenar tentang pemilikan ekuiti bumiputera. Pemilikan ekuiti bumiputera kini ialah kira-kira 18 peratus.
"Ia (dokumen kerajaan dan maklumat EPU) adalah lebih tepat kerana ia mengambil sampel kajian 600,000 syarikat."
Sebagai contoh, beliau membandingkan hasil kajian iaitu kadar pemilikan ekuiti bumiputera 45 peratus dengan pemilikan ekuiti sebenar bumiputera dalam syarikat pewakil.
Katanya, maklumat EPU menunjukkan daripada lebih 300 syarikat pewakil di negara ini, 60 peratus daripadanya dimiliki oleh bukan bumiputera berbanding 13 peratus yang dimiliki bumiputera.
Beliau juga berkata anggapan bahawa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah sebenarnya syarikat bumiputera adalah tidak benar dan sesiapa yang beranggapan sedemikian adalah salah.
Segala perolehan dan keuntungan dari syarikat-syarikat GLC disalurkan ke dalam Perbendaharaan sebagai "Consolidated Fund" dan digunakan kembali untuk membiayai projek pembangunan yang mana faedahnya dinikmati semua kaum, katanya.
Tidak jejas bukan bumiputera
Sementara itu, Bernama juga melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi jaminan bahawa usaha kerajaan memenuhi matlamat ekuiti Bumiputera tidak akan menjejaskan bukan Bumiputera.
"Kita perlu memberi tumpuan bagi mencapai imbangan tetapi ia tidak akan sampai menjejaskan bukan Bumiputera," katanya di Kota Bharu, ketika diminta mengulas mengenai hasil kajian Asli itu.
Kenyataan penyelidik Asli itu memberikan contoh GLC yang bukan milik Melayu sepenuhnya dan perkara ini menurut Najib, GLC pula mempunyai kedudukan dan peranan tertentu.
Kerajaan tidak mahu perkara ini menjadi polemik besar-besaran kerana pada hakikatnya kedudukan ekuiti Bumiputera masih kecil secara relatifnya, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini hari ini.
"Ini kerana perangkaan yang digunakan berasaskan kepada nilai purata dan kalau kita gunakan asas lain, barangkali memberi gambaran syarikat yang mendapat keuntungan yang lebih sudah tentu nilai saham mereka lebih tinggi dari syarikat yang berprestasi rendah.
"Jadi kita perlu memberi tumpuan bagi mencapai imbangan tetapi tidak sampai menjejaskan golongan bukan Bumiputera," katanya.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.