Membanteras Mat Rempit, motosikal akan dirampas

Usaha membanteras Mat Rempit - kerajaan mungkin meminda undang-undang jalanraya atau mewujudkan undang-undang baru bagi membolehkan motosikal yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dirampas.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan supaya undang-undang dipinda atau undang-undang baru diwujudkan bagi membolehkan pihak berkuasa merampas motosikal mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan lumba haram.

"Sebelum ini pelbagai operasi dilancarkan bagi membanteras kegiatan lumba haram dan menahan Mat Rempit bersama motosikal masing-masing, tetapi mereka masih boleh membawa balik dan mengambil semula motosikal itu apabila disaman atau dibebaskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang raya kepada peneroka-peneroka di Felda Laka Selatan, dekat Jitra, Kedah.

Beliau menambah, kegiatan mereka itu tetap berterusan sampai bila-bila apabila motosikal masih ada dan jika kenderaan mereka dirampas aktiviti lumba haram itu semakin lama semakin berkurangan dan turut memberi kesedaran kepada "Mat-Mat Rempit".

Menurut laporan Bernama, Johari berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara terlebih dahulu untuk dipertimbangkan dan kemudiannya barulah boleh dibentangkan di Parlimen jika perlu.


Katanya, kegiatan lumba haram semakin menjadi-jadi di kalangan belia serta golongan remaja dan tidak mengira masa walaupun di bulan puasa sehingga boleh membahayakan keselamatan orang ramai dan pengguna jalan raya.

Mohd Johari turut mengarahkan polis supaya lebih giat memantau perkembangan Mat Rempit dan membendung kegiatan lumba haram di seluruh negara menjelang sambutan perayaan Deepavali dan Aidilfitri.

Kegiatan lumba haram dan sikap samseng Mat Rempit turut mencetuskan pelbagai risiko seperti dilaporkan di ibu negara berlakunya pergaduhan membabitkan kumpulan Mat Rempit sehingga seorang maut dan tiga lagi cedera.

Di Baling pula, dua pelajar maut dan dua lagi cedera apabila masing-masing berlumba haram sesama mereka.






 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.