Dr M mohon maaf pada perwakilan
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada semua perwakilan ke perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung kerana tidak dapat menghadirinya atas masalah kesihatan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada semua perwakilan ke perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung kerana tidak dapat menghadirinya atas masalah kesihatan.
Dalam nota peribadi satu muka surat itu, bekas Presiden Umno itu berkata, beliau berdoa agar perhimpunan kali ini berjalan dengan baik.
Nota pendek itu, yang ditandatangani Dr Mahathir bersama nombor keahliannya 0000001 diedarkan kepada para perwakilan yang memasuki dewan persidangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pagi ini.
Dr Mahathir mengalami serangan jantung ringan Khamis lalu dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau dibenarkan pulang jam 5.30 petang semalam.
Sementara itu, Bernama memetik Datuk Mukhriz sebagai berkata, bapanya tidak akan menghadiri perhimpunan itu meskipun sudah sihat dan dibenarkan pulang.
"Tun tetap tidak datang. Tun hanya ikut melalui televisyen," katanya kepada pemberita selepas majlis doa selamat untuk bekas perdana menteri itu di Kuala Lumpur malam tadi.
Majlis doa selamat
Majlis yang dianjurkan keluarga beliau diadakan sebagai memenuhi permintaan para perwakilan Persidangan Agung Umno yang ingin melawat dan mendoakan kesejahteraannya.
Mukriz berkata beliau mendapat tahu bahawa Dr Mahathir dibenarkan pulang jam 5 petang Selasa selepas dimaklumkan oleh doktor yang merawat bapanya.
"Sebenarnya saya terkejut sebab doktor beritahu saya yang Tun akan ditahan selama lebih kurang seminggu. Saya rasa doktor fikir keadaan Tun sudah sihat dan boleh pulang," katanya.
Majlis doa selamat itu, yang dihadiri kira-kira 200 orang itu yang dimulai dengan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh ustaz peribadi keluarga Dr Mahathir yang hanya mahu dikenali dengan nama Ustaz Basheer.
Majlis itu kemudiannya diteruskan dengan bacaan surah Yassin, solat Isyak berjemaah sebelum diakhiri dengan bacaan doa.
Selain Mukhriz, anak-anak Dr Mahathir yang turut serta ialah Mirzan, Datuk Mokhzani dan Datin Paduka Marina.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.