Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semua produk ayam Belanda di pasaran tidak halal, kata Jakim
Diterbitkan:  Nov 20, 2006 5:15 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan semua produk ayam belanda serta produk hilirannya di pasaran sekarang tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata ini kerana kerajaan telah meluluskan kemasukan produk ayam Belanda tidak halal khusus bagi sambutan Krismas dan sambutan tahun baru 2007.

"Sehubungan itu, semua ayam belanda yang diimport yang berada di pasaran mulai 19 November adalah tidak halal," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini.

Beliau berkata bagi menggelakkan kekeliruan kepada pengguna Islam, jabatan itu telah menyediakan satu prosedur khusus kepada semua pasaraya yang mengendali produk tersebut.

"Antaranya adalah arahan supaya meletakkan pelekat tidak halal pada setiap bungkusan produk berkenaan," katanya.

Sementara itu kerajaan memberi jaminan semua daging lembu import adalah halal dan mendapat sijil kelayakan daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mah Siew Keong berkata Jakim sentiasa membuat pemeriksaan termasuk di Australia dan India mengenai daging lembu yang akan dibawa masuk ke negara ini.

"Yang pentingnya sumber bekalan dari negara luar yang kita sahkan mesti dapat kelayakan dari Jakim, dan Jakim sentiasa membuat pemeriksaan walaupun di Australia dan India," katanya di Dewan Rakyat.

Mah berkata, pada tahun ini enam rumah penyembelihan di India telah mendapat kelulusan daripada Jakim manakala badan Islam di negara itu yang diiktiraf oleh Jakim turut membuat pengauditan dari masa ke semasa.

Permit import

Menjawab soalan Syed Hood Syed Edros (BN-Parit Sulong) mengenai prosedur kerajaan dalam sistem pemberian AP (permit import) ternakan, beliau berkata 22 syarikat telah diberikan permit untuk mengimport ternakan hidup dalam tempoh Januari hingga Jun lepas.

Keputusan untuk memberikan kelulusan import adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Penyelarasan Pengimportan Haiwan dan Produk Haiwan serta tertakluk kepada pematuhan peraturan import yang telah ditetapkan.

Beliau berkata urusan pengimportan daging tidak melibatkan unsur-unsur monopoli, dan semua syarikat termasuk syarikat individu, boleh membuat permohonan dengan syarat ia memenuhi kelayakan kapasiti dan negara pengeksport pula bebas daripada penyakit.

"Kebanyakan syarikat yang layak yang membuat permohonan diberi kelulusan dan pada musim perayaan lebih banyak syarikat yang memohon, oleh itu isu sekatan permit tidak timbul...jika dia ada kapasiti, kita akan luluskan," katanya.

Mah berkata kementerian mempunyai pelbagai rancangan bagi meningkatkan pengeluaran daging dan makanan memandangkan defisit pengimportan makanan kini hampir RM6 bilion.

Pada tahun ini kadar sara diri untuk pengeluaran daging negara ialah 23 peratus, dan mengikut perancangan, ia akan meningkat ke tahap 28 peratus pada tahun 2010 dan 40 peratus pada 2015.

ADS