Perwakilan Umno Perlis, Melaka, K'tan dan S'gor dikenalpasti
Muhammad Razif
Nov 23, 06
5:57pm
Empat pembahas Umno dari Perlis, Melaka, Kelantan dan Selangor dikenalpasti sebagai yang paling lantang dan keterlaluan ketika berucap di perhimpunan agung Umno minggu lalu hingga menyentuh sensitiviti kaum.

Menurut sumber Umno, mereka ialah Hashim Subuh, wakil badan perhubungan Umno Perlis; Hasnoor Sidang Husin dari Melaka; Md Alwi Che Ahmat dari Kelantan dan Ramli Simbok, wakil Pemuda Umno Selangor.

Keempat-empat mereka menyentuh isu perkauman ketika memperkatakan isu agenda Melayu semasa membahaskan ucapan dasar presiden dan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno pada 14 hingga 17 November lalu.

Ucapan keterlaluan mereka dikatakan telah menimbul kebimbangan di kalangan kaum bukan Melayu dan membangkitkan kritikan keras dari para pemimpin Cina dan India dari Barisan Nasional dan parti pembangkang.

Semalam Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekurang-kurangnya tiga pembahas di perhimpunan agung berkenaan dikenalpasti berucap secara keterlaluan.

Katanya mereka akan disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan sebelum dikenakan tindakan.

Menurut sumber berkenaan lagi, rakaman ucapan mereka telah diteliti dan mereka dikenalpasti antara pembahas yang paling lantang dan ekstrim.

Keris Panca Warisan

“Rakaman ucapan mereka akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan lanjut. Sejauh mana tindakan akan diambil tidak dapat dipastikan, tetapi Umno memang serius menangani isu ini. Siapa di antara mereka berempat akan dikenakan tindakan, bergantung pada hasil siasatan,’ ujarnya.

Hashim, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis dalam ucapannya antara lain telah bertanya pada Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bila beliau mahu menggunakan keris Panca Warisan.

Menurut Hashim, ini merupakan tahun kedua Hishamuddin membawa dan menghunus kerisnya di perhimpunan agung Umno dan bila Ketua Pemuda itu mahu menggunakannnya?

Ini adalah kali kedua bagi beliau berucap di perhimpunan parti Melayu terbesar itu.

Hasnoor Sidang Husin pula berkata, orang Melayu telah lama dicabar dan diuji dengan pelbagai tuntutan tidak munasabah dan selama ini hanya mengambil pendirian pasif tanpa bertindak balas secara agresif.

Jelasnya, beberapa isu besar seperti yang dibangkitkan oleh Lim Kim Sai mengenai status pribumi, tuntutan Suqiu, kumpulan Dong Jiao Zong, memorandum sembilan menteri bukan Islam kepada Perdana Menteri dan kes Lina Joy adalah antara rentetan yang begitu mencabar kedudukan agama Islam dan hak Melayu.

"Persoalannya, apakah Umno dan orang Melayu terus bersikap defensif dan pasif lagi, sudah sampai masa dan ketikanya, kita bangkit dengan lantang dan berani tanpa berasa takut menyatakan pendirian kita mempertahankan martabat dan maruah Umno.

‘Bermandi darah’

"Sebagai bangsa Melayu, kita sanggup bergadai nyawa dan bermandi darah. Jangan cabar... kita ingatkan kepada mereka seperti kata Presiden parti, jangan sesekali bermain api, takut-takut terbakar diri,'' tegasnya.

Md Alwi Che Ahmad pula mengingatkan kaum lain supaya tidak sesekali mempertikai hak keistimewaan Melayu kerana orang Melayu sendiri tidak pernah menganggu mereka mengaut kekayaan.

Beliau menegaskan terdapat lima perkara yang tidak boleh diganggu-gugat oleh kaum lain yang dianggapnya sebagai hak istimewa iaitu raja, agama, bahasa, adat dan tanahair.

"Jangan sesiapa pertikaikannya dan kita telah tetapkan dalam perlembagaan kita termasuk Artikel 121... saya dah mula selingsing lengan ni.

"Kamu nak berniaga, nak buat bangunan, nak buat projek, kamu nak ambil perniagaan, ambil la, tetapi hal raja, hal agama, hal negara ini, jangan sekali-kali kamu persoalkan,'' katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, biarpun isu yang ditimbulkan itu adalah sensitif, namun perkara tersebut perlu dibangkitkan juga demi orang Melayu sendiri.

Pertahan Presiden Umno

"Mereka (kaum lain) berharta di negara ini, mereka dapat permit perniagaan di negara ini, dulu tidak. Ini negara kita, kita tuannya tapi tak pernah lupakan orang lain,'' katanya.

Sementara itu Ramli Simbok pula menyentuh isu sensitif apabila mengkritik tindakan pemimpin Barisan Nasional seperti Datuk Seri Samy Vellu, Tan Seri Dr Kho Tsu Koon dan Datuk Ong Tee Kiat yang pada tanggapannya bersikap “kurang ajar” kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Umno.

Menurutnya, Pemuda Umno akan bangkit mempertahankan Presiden Umno jika ada pihak mahu mencabar atau menggugat beliau.

“Bagi Pemuda, membujur lalu…melintang patah,” katanya sambil menegaskan tidak salah bagi pemimpin Umno bangkit memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak Melayu apabila kepentingan bangsa mereka dicabar dan digugat oleh kaum lain.

“Kalau asyik angguk… apa nak jadi dengan bangsa Melayu,” tegasnya sambil menegaskan sokongan penuhnya kepada peringatan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pada September lalu yang antara lain mendakwa orang Cina akan mengambil kesempatan menekan kerajaan jika orang Melayu lemah.

 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner