| DAP hari ini mempersoalkan siapakah yang akan mendapat faedah ari peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta untuk projek-projek luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Ahli jawatrankuasa pusat parti itu, Ronnie Liu bertanya, adakan bahagian-bahagian Umno di seluruh negara akan mendapat bajet berkenaan untuk disalurkan kepada para pemimpin di akar umbi?
Pada penutup perhimpunan agung Umno baru-baru ini Presiden parti itu merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan kerajaan akan menambah RM600 juta lagi peruntukan bagi pembangunan luar bandar. Sebelum ini di dalam RMK9, sebanyak RM1.5 billion telah diperuntukkan oleh kerajaan.
Sebaik sahaja selepas pengumuman Abdullah itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pula memberitahu para wartawan, semua 198 kawasan Parlimen akan mendapat RM3 juta dari RM600 juta yang diperuntukkan itu.
Menurutnya, dana tambahan itu akan dgunakan untuk membantu kontraktor kelas-F dan akan disalurkan dalam tempoh enam bulan.
Bagaimanapun menurut Liu, sepucuk surat yang ditandatangani oleh Timbalan Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed pada 13 November lalu membawa cerita lain pula.
Dalam mengarahkan pengarah Jabatan Kerjaraya mempercepatkan pelaksanaan projek-projek berkenaan, kandungan surat itu menyatakan dana itu hanya untuk projek-projek kecil di Semenanjung dan Sabah.
Liu berkata, mungkin Sarawak tidak termasuk dalam pembahagain peruntukan itu kerana Umno tiada di negeri itu.
Terdapat 191 bahagaian Umno di Semenanjung dan Sabah. Jika setiap bahagian diberikan projek bernilai RM3 juta, jumlah keseluruhannya ialah RM573 juta, katanya lagi.
Menurut beliau, majoriti ketua bahagian Umno secara automatik akan layak menekmati faedah ini kerana sebahagian besar mereka mempunyai lesen kelas-F yang membolehkan mereka mendapat kontrak-kontrak kecil seperti membaiki jalan, mengecat bangunan kerajaan dan membaiki longkang.
Kontrak-kontrak kecil ini bernilai tidak lebih RM200,000 setiap satu dan dikhaskan untuk bumiputera.
Liu berkata, kemungkinan besar tambahan dana ini adalah keputusan parti, bukannya kata sepakat di peringkat kabinet.
Surat yang ditandatangan oleh Mohd Zin itu dihantar salinannya kepada Perdana Menteri, Menteri Kerjaraya dan Menteri Kewangan Kedua. Bagaimanapun tiada salinan untuk Menteri Pembangunann Wilayah dan Luar bandar Datuk Abdul Aziz Shamsudin walaupun peruntukan itu adalah untuk pembangunan luar bandar.
Liu mendakwa, dana tambahan ini tidak diluluskan oleh Parliamen atau kabinet, sebagaimana rancangan RMK9.
Penggunaan wang rakyat telah dibuat secara tidak mengikut undang-undang," katanya sambil mendakwa dana berkenaan sebenarnya digunkan untuk disalurkan kepada para pemimpin Umno di bahagian bagi memastikan mereka menyokong pucuk pimpinan.
Liu membuat laporan polis hari ini dengan menyertakan salinan surat Mohd Zin sebagai buktinya. Satu salinan surat tersebut juga diberi kepada malaysiakini. Berita asal.
|