Bagi meneruskan dan menyebarkan propagandanya di kalangan umat Islam Asia Tenggara, Israel melancarkan laman web bahasa Melayu-Indonesia semalam.

Menurut sebuah akhbar Jakarta Post di Jakarta, laman web itu dihoskan oleh Kedutaaan Israel di Singapura, dan memuatkan berita dan maklumat mengenai agama, ekonomi dan kebudayaan Israel.

"Ini merupakan usaha Israel untuk meningkatkan hubungan dengan penduduk Islam di Indonesia dan Malaysia," lapor akhbar tersebut hari ini.

Jakarta Post melaporkan, Duta Israel ke Singapura, Ilan Dov berkata:"Walaupun kita hidup dalam era maklumat, masih terlalu kurang maklumat asas mengenai Israel dalam dunia Islam."

Beliau mernambah:"Hasil perbincangan yang saya adakan dengan pelbagai lapisan masyarakat Indonesia, saya dapati mereka ingin tahu lebih banyak mengenai Israel dan masyarakatnya yang demokratik, pluralistik, berdaya maju dan pelbagai budaya," katanya.

Wakil Bernama di Jakarta melaporkan, laman web itu ialah sebahagian usaha berterusan Israel untuk mendekati negara-negara Islam. Indonesia mahupun Malaysia tidak menjalin hubungan diplomatik secara rasmi dengan Israel.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Indonesia Imron Cotan dipetik sebagai berkata tidak salah bagi Israel untuk mewujudkan laman web bagi menyatakan pandangan negara itu selagi isi kandungannya tidak menyinggung orang Islam.

"Tetapi sekiranya mereka mahu Indonesia menimbangkan mengadakan hubungan diplomatik, dengan itu mereka perlu mematuhi semua resolusi PBB bagi penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan sempadan yang diiktiraf antarabangsa," katanya kepada Jakarta Post.

Sementara Indonesia menyokong penyelesaian dua buah negara bagi menamatkan konflik Israel-Palestin, isu mengiktiraf Israel masih merupakan isu sensitif dan langkah untuk berbuat demikian berkemungkinan besar akan menjadi punca kepada demonstrasi besar-besaran, menurut pemerhati.

Negara Islam lain seperti Turki, Mesir dan Jordan, bagaimanapun, menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.