ALSO BY

By Rosa Lee

Diskriminasi berdasarkan jantina masih berlaku

opinion Semua gerakan wanita sekata bahawa punca utama berlakunya diskriminasi jantina terhadap wanita, disebabkan oleh identiti biologi jantina mereka.

Wanita yang berkedudukan tinggi sering cuba "lari" daripada diskriminasi ini dengan mengalih bebanan mereka kepada golongan wanita kelas bawahan untuk melakukan urusan domestik mereka.

Diskriminasi terhadap wanita kelas bawahan pula ialah akibat sistem kapitalis dan sistem patriarchy dimana lelaki menjadi ketua keluarga.

Namun, persoalan utama di sini ialah apakah jika wanita bebas daripada diskriminasi kelas kaum pekerja sebagai contohnya - mereka akan turut bebas daripada diskriminasi jantina. Adakah wanita akan tidak lagi diperalatkan untuk menguatkan sistem kapitalis? Jawapannya adalah tidak - kerana wanita, khasnya, pekerja wanita, tetap menghadapi masalah dengan pekerja lelaki dari segi diskriminasi jantina.

Diskriminasi yang diterima oleh pekerja wanita termasuk:
1)Menerima gaji lebih rendah daripada lelaki walaupun mereka melakukan kerja yang sama.

2)Diberikan jenis kerja yang berulang, membosankan, tiada kemahiran serta diletakkan dalam struktur kerja yang paling rendah, contohnya kerja sebagai kerani dan di kilang elektonik.

3)Mereka sering dipecat apabila meningkat umur, selepas berumahtangga dan apabila hamil kerana semua ini hanya akan menaikkan kos majikan.

4)Peluang kenaikan pangkat dan mengikuti latihan adalah terhad.

5)Gangguan seksual.

Wanita bukan pekerja tetap

Realitinya ialah wanita sering dilihat sebagai tenaga buruh yang boleh diambil dan dipecat dengan senang kerana mereka dianggap bukan "pekerja tetap". Tambahan pula adalah dianggap kehidupan mereka akan disarai oleh kaum lelaki, sama ada suami, ayah atau saudara kaum lelaki yang lain.

Malah ramai juga kaum wanita beranggapan bahawa mereka akan berumahtangga dan tanggungjawab mencari rezeki terserah kepada suami selaku ketua keluarga. Justeru itu, ramai wanita berhenti kerja setelah berumahtangga.

Nilai-nilai patriachy yang membentuk peranan dan imej stereotype diantara lelaki dan wanita telah diekploitasi dan diterapkan ke dalam sistem pasaran buruh oleh kaum kapitalis yang pertimbangan keuntungan semata-mata.

Apakah bentuk stereotype yang diterapkan dalam nilai sosial kita?

Mitos pertama: Peranan wanita yang utama ialah menjadi isteri dan ibu. Lelaki pula berperanan sebagai ketua keluarga dan sumber kewangan utama. Justeru itu, sumber pencarian wanita tidak dianggap penting, dan hanya bersifat sampingan.

Mitos kedua: Ciri semulajadi wanita dikatakan lemah-lembut, sabar dan teliti manakala lelaki pula bersifat kuat, agresif, lebih mahir dalam memahami aspek makro. Oleh itu, wanita dianggap lebih sesuai melakukan kerja yang bersifat berulang, teliti dan remeh.

Senang dikawal

Bagaimanakah stereotype ini telah diterapkan ke dalam pasaran buruh demi keuntungan kapitalis? Kalau dilihat secara teliti, majoriti kilang transnational melabur di negara membangun. Mereka suka mengupah wanita muda sebagai pekerja mereka, contohnya di kilang pakaian dan elektronik. Bukan sahaja upah mereka lebih rendah, tetapi juga kerana dipercayai wanita lebih senang "dikawal", dan tahan melakukan kerja berulang dan membosankan.

Diskriminasi terhadap wanita seperti ini sebenarnya ialah strategi golongan kapitalis untuk melemahkan kuasa pekerja wanita memperjuangkan isu berkenaan. Bagaimanakah ianya dilakukan?

Pertamanya, dengan mengekalkan label "bukan pekerja tetap" terhadap pekerja wanita.

Keduanya, industri di mana majoriti pekerjanya adalah wanita tidak aktif dalam pergerakan pekerja.

Ketiga, wanita menanggung dua bebanan - mencari rezeki dan menguruskan keluarga. Justeru itu, ramai pekerja wanita tidak mampu aktif dalam kesatuan kerana kongkongan tersebut.

Sebagai kesimpulan, umumnya kita mendapati sistem kapitalis sebenarnya menguatkan lagi sistem patriarchy bagi mengekalkan keuntungan mereka di samping memecah-belahkan kuasa pekerja (lelaki dan wanita). Lantaran itu, gerakan pekerja atau aktivis berhaluan kiri, perlu menerima hakikat bahawa perjuangan membebaskan wanita daripada belunggu sistem patriarchy adalah selari atau serentak dengan perjuangan menghapuskan diskriminasi kelas.