Kompilasi X-file kali ini menyentuh kes-kes yang menimbul banyak persoalan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) khususnya mengenai metodologi mengira ekuiti bumiputera, ura-ura penggabungan parti-parti politik dan mengenai mega projek.

DEB masalah yang tidak kunjung selesai

Kontroversi mengenai metodologi pengiraan kekayaan pelbagai kaum dicetuskan oleh laporan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) yang merumuskan ekuiti bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melebihi sasaran 30 peratus.

Kajian lebih awal yang dijalankan oleh seorang penyelidik di Universiti Malaysia juga merumuskan hasil yang sama, tetapi kerajaan menolaknya, dan tetap berpegang kepada angka 18.9 peratus bagi pegangan ekuiti bumiputera yang dikeluarkan pada 2005.

Pendedahan tersebut telah mencetuskan perdebatan hebat, sehingga mendorong kerajaan untuk pertamakalinya mendedahkan rahsia metodologi itu di Parlimen dan dalam satu kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Effendi Norwawi.

Dalam menepis semua kritikan, kerajaan mendakwa metodologinya itu disahkan oleh badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia, yang kemudiannya menafikan perkara itu.

Persoalan itu boleh diselesaikan sekiranya sebuah panel bebas ditubuhkan untuk menyemak metodologi tersebut dan menyediakan jawapannya. Kerajaan, seperti biasa, hanya berdiam diri.

Apakah ada keadilan?

Lapan tahun selepas soal berkaitan krisis kehakiman 1988 berakhir, Majlis Peguam menimbulkan semula dengan menggesa ia dikaji semula demi menegakkan keadilan.

Sejurus kemudiannya, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas turut bersuara dan menyokong gesaan mengadakan semakan tersebut, yang turut disokong oleh keluarga hakim-hakim lain yang turut dipecat, ahli politik dan para peguam.

Namun begitu, usul tergempar di Parlimen ditolak dan cadangan supaya ditubuhkan suruhanjaya atau siasatan turut ditolak atas sebab yang hanya diketahui oleh kerajaan.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang kehakiman, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berpendapat semakan itu hanya boleh diadakan jika hakim-hakim yang menganggotai tribunal yang mendapati ketiga-tiga hakim Mahkamah Agung itu bersalah, mengakui berlaku kesilapan.

Majlis Peguam merancang untuk meneruskan gesaannya itu, tetapi sejauhmanakah ia boleh pergi sedangkan kerajaan tidak bersedia berbuat demikian?

Apa akhirnya dengan IPCMC

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) akan "ditubuhkan tidak lama lagi" selepas Perdana Menteri bersetuju dengan penubuhan badan pemantau tersebut Januari lalu.

Nampaknya, cadangan tersebut masih dalam kajian Pejabat Peguam Negara, walaupun tarikh akhir penubuhannya ialah 31 Mei seperti yang diperakukan oleh Suruhanjya Diraja Polis.

Pasukan polis pada awalnya membantah keras cadangan tersebut manakala beberapa pemimpin politik Umno berpendapat, sudah ada mekanisme dalaman yang mencukupi untuk menangani masalah tersebut.

Polis, dalam satu buletin khas, telah membantah penubuhan IPCMC, malah pada bulan Mei, mengancam untuk mengundi pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang dan membiarkan jenayah berlaku sekiranya badan pemantau itu diwujudkan.

Bagaimanapun, buletin tersebut kemudiannya ditarik balik dan para pegawi tinggi polis telah menyatakan taat setia mereka kepada kerajaan.

Persoalannya ialah apakah IPCMC akan ditubuhkan?

Di mana PAS?

Ketika parti-parti pembangkang sibuk membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, yang menurut ramalan mereka, mungkin diadakan tahun depan. PAS nampaknya tidak berbuat apa-apa, seolah-olah itu telah ketinggalan di belakang rakan pembangkangnya yang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

PKR, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat, dan DAP pula dengan Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng, telahpun mempunyai rancangan untuk merampas Pulau Pinang.

Bagaimanapun, PAS nampaknya masih selesa dengan keadaan di Kelantan, yang diperintahnya dengan majoriti satu kerusi, di samping mengintai Terengganu yang dirampas Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum 2004.

Apa telah jadi kepada ceramah PAS yang sebelum ini begitu berkesan sekali, dengan diterajui oleh pemimpinnya seperti Mohamad Sabu dan Datuk Dr Hassan Ali?

Presiden parti itu yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya telah hilang taringnya. Di manakah program untuk merampas semula Terengganu?

Parti Islam itu juga tidak menyentuh isu-isu membabit agama seperti murtad dan kedudukan Islam dalan Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, isu-isu ini diperjuangkan oleh badan-badan bukan kerajaan.

Apakah pemimpinnya mampu membuktikan bahawa anggapan itu adalah salah?

Projek M

Amat memeranjatkan apabila timbul dakwaan bahawa kerajaan telah mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin di Sabah di bawah'Projek M'.

Seorang bekas senator mendakwa projek tersebut dimulakan sewaktu pentadbiran Dr Mahathir untuk memberi kerakyatan kepada pendatang tanpa izin, sebahagian besarnya dari Filipina.

Dianggarkan terdapat 1.75 juta rakyat asing di Sabah, di mana kira-kira 750,000 daripadanya dikatakan pendatang haram. Penduduk tempatan bimbang suatu hari nanti, jumlah rakyat asing akan lebih ramai daripada mereka, di samping meningkatkannya masalah sosial dan ekonomi.

Seorang ahli politik kanan mendakwa, nama rakyat asing yang menerima kad pengenalan di bawah 'Projek M' turut terdapat dalam senarai pemilih.

Polis dilaporkan telah memulakan siasatan, tetapi pihak kerajaan hanya berdiam diri berhubung dakwaan tersebut. Mengapa?

Projek mega seterusnya

Berdasarkan kepada pengumuman rasmi, era projek mega telahpun berakhir pada bulan November 2003, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran negara.

Ketika berucap menutup perhimpunan agung Umno pada 20 November tahun ini, beliau menegaskan, pada masa lalu, kekayaan dijana bukan oleh inovasi dan kreativiti, tetapi oleh pelaburan asing, kontrak kerajaan dan melalu pengswastaan. Dan, oleh itu, menurutnya, era projek mega sudah berlalu.

Bagaimanapun, mari kita bandingkan cakap dengan tindakannya:
- RM600 juta'bonus' kepada kontraktor Kelas F;
- RM400 juta untuk membina Istana Negara yang baru;
- RM220 juta untuk Projek Expo Pertanian;
- RM2.8 juta untuk membina jambatan kedua Pulau Pinang;
- RM50 juta pemulihan KTM Bhd;
- RM120 juta untuk pasang-siap bas bagi Sykt Prasarana Negara Sdn Bhd;
- RM14.5 bilion untuk projek landasan berkembar; dan
- RM1.2 billon projek monorail Pulau Pinang.

Mengulangi persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di Dewan Negara pada 21 November berhubung istana baru itu: "Mengapa ianya diberi kepada Maya Maju Sdn Bhd? Siapakah mereka ini? Adakah mereka syarikat kroni? Mengapa tiada tender terbuka? Mengapa tiada kontrak? Mengapa kita memerlukannya?

Kita juga bertanyamengenai projek yang sama atau yang dijangka diberikan kepada Kumpulan UEM (landasan berkembar, jabatan Pulau Pinang kedua; Scomi Group Bhd (berusaha mendapatkan projek monorail Pulau Pinang, bahagian pasang-siap bas dan penyelenggaraan KTM) dan syarikat-syarikat lain yang terbabit jika kita tahu siapakah mereka ini.

Manakala projek Pembangunan Wilayah Iskandar seluas 2,216 km persegi di Johor meliputi kawasan dua kali ganda pulau Singapura dan 48 kali ganda keluasan Putrajaya. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur RM3.4 bilion dalam projek-projek strategik, sebagai sebahagian daripada RM47 bilion yang diperlukan sepanjang tempoh 2006-2010, dan RM336 juta lagi dari 2011-2025.

Pada 20 Disember, Utusan Malaysia memetik pegawai kerajaan sebagai berkata kabinet telah meluluskan pembinaan landasan sepanjang 246 km yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuantan dan pembinaan sebuah stesen keretapi yang baru. Kerajaan pusat akan membiayai kos (tidak dinyatakan) projek tersebut yang akan dibina antara 2012-2015 di bawah Rancangan Prasarana Negara yang diluluskan Oktober lalu,

Tiada lagi projek mega?

Politik Sarawak

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) menjadi tumpuan laporan media tahun ini, selepas kalah teruk dalam sejarah parti tersebut, dalam pilihanraya negeri Mei lalu. Supp kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya.

Lebih memalukan lagi ialah parti tewas di kawasan bandar yang majoriti pengundinya terdiri daripada masyarakat mewah kaum Cina yang didakwa oleh Supp diwakilinya sejak kemerdekaan. Malah, parti itu juga kehilangan kerusi Datuk Bandar Kuching yang secara tradisinya diisi oleh calon dari parti tersebut.

Ekoran itu, wujud desakan supaya presidennya, Tan Sri Dr George Chan supaya meletakkan jawatan. Hasil kompromi yang diadakan, beliau bersetuju meletakkan jawatan apabila tamat penggalnya pada 2008. Akibat krisis dan perpecahan paling teruk dalam parti itu, kini timbul tandatanya mengenai detik-detik yang bakal dilalui Dr Chan menjelang 2008 nanti.

Masalah dalaman dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga semakin teruk selepas pilihanraya negeri yang lalu. Datuk Dr James Masing telah dicela sebagai presiden PRS oleh puak penyokong timbalannya. Menurut desas-desus, PRS yang merupakan parti serpihan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mungkin mengalami nasib yang sama seperti PBDS yang telah dibatalkan pendaftarannya tahun lalu.

Tanpa pelbagai krisis yang melanda parti-parti politik di negeri itu, pastinya Sarawak kurang mendapat perhatian. Siapa pula selepas ini?

Status insinerator di Broga

Empat tahun selepas projek insinerator dipindahkan ke Broga pada November 2002, sumber maklumat mengenainya 'tertutup rapat'.

Pada bulan Ogos 2006, malaysiakini melaporkan bahawa projek RM1.5 bilion itu akan dibatalkan, tetapi penduduk hanya diberitahu bahawa keputusannya memihak kepada mereka. Mereka perlu menunggu pengumuman rasmi mengenainya, begitu juga dengan kontraktor Jepun, Ebara Corp.

Mungkinkan ini cara kerajaan menarik diri melalui pintu belakang, bagi menjaga 'air mukanya' dalam isu tersebut, memandangkan projek itu mendapat bantahan besar-besaran?

Ura-ura penggabungan

Ura-ura mengenai pergabungan antara Parti Progresif Rakyat (PPP) dengan Gerakan, Barisan Progresif India (IPF) dengan Kongres India Malaysia (MIC); dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), turut menjadi perbualan hangat dalam arena politik tanahair.

Ekoran keadaan Presiden IPF, Datuk MG Pandithan yang sedang menderita penyakit leukemia, ada pihak yang percayai parti pimpinannya mungkin diserapkan ke dalam MIC. Lagipun, IPF merupakan serpihan parti komponan BN itu.

Timbul juga spekulasi bahawa gabungan IPF-MIC akan turut membabitkan PPP, tetapi presidennya, Datuk M Kayveas menafikan khabar angin tersebut dalam perhimpunan parti itu bulan lalu.

Sebaliknya, beliau mencadangkan gabungan PPP dengan Gerakan yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik. Bagaimanapun, Dr Lim menolak cadangan tersebut.

Di Sarawak, PRS pimpinan Datuk James Masing dan SPDP pimpinan Datuk William Mawan sedang berbincang mengenai cadangan penggabungan itu, tetapi ia terjejas oleh krisis kepimpinan dalam PRS sekarang. Ekoran itu, SPDP telah menghentikan perbincangan tersebut sehingga PRS menyelesaikan masalah dalamannya.

Apakah negara akan menyaksikan cadangan penggabungan parti-parti politik ini bakal menjadi realiti, sepertimana yang berlaku dalam dunia korporat?