Menterinya, Datuk Seri Fong Chan Onn berkata, pihaknya mendapati majikan menggunakan keadaan ekonomi yang tidak menentu sebagai alasan untuk mengurangkan pekerja. "Kita tidak mahu majikan menjadikan pekerja sebagai mangsa atas alasan ekonomi walaupun prestasi syarikat tidak seteruk mana atau sampai ke tahap perlu membuang pekerja.
"Tetapi kita telah menerima aduan dan rungutan dari pekerja bahawa mereka dibuang oleh syarikat kerana faktor ekonomi semasa," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan bangunan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Lumpur hari ini.
Melalui pindaan tersebut, katanya, majikan yang mahu mengurangkan pekerja perlu membayar pampasan selama enam bulan gaji bagi membolehkan mereka memulakan hidup baru.
Kementerian, katanya, mencadangkan majikan memberi pinjaman kecil untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan.
"Di negara maju, terutama Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, kebajikan pekerja sangat terjamin kerana majikan tidak mengurangkan pekerja sewenang-wenangnya," katanya.
Faedah pampasan
Sementara itu, Fong berkata, Perkeso akan melabur dalam syarikat-syarikat perniagaan bagi membolehkan mereka mendapat sumber kewangan sendiri untuk membayar faedah pampasan kepada ahlinya kira-kira RM 1 bilion setahun.

Ketika ini, katanya, sumber utama kewangan Perkeso adalah dari Kementerian Kewangan dan caruman pekerja.
"Tetapi situasi sekarang ialah jumlah caruman hampir sama banyak dengan pembayaran pampasan kepada pencarum Perkeso dan dalam tempoh 10 tahun akan datang ia akan sama banyak," katanya.
Bagi membolehkan tujuan itu, Perkeso katanya akan berunding dengan Kementerian Kewangan sebelum membuat pelaburan dalam sektor tertentu.
Pada masa ini, katanya, jumlah pelaburan Perkeso kecil kerana Kementerian Kewangan tidak membenarkan pertubuhan itu membuat pelaburan dalam sektor perniagaan.
Mengenai pekerja asing, Fong berkata, kini terdapat kira-kira 1.3 juta yang berdaftar dan 500,000 lagi bekerja secara haram, sebahagian besarnya pekerja Indonesia.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing, termasuk memperbanyakkan institusi latihan kemahiran untuk belia tempatan.