Anwar dan pemimpin pembangkang penakut, kata Khairy
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menyifatkan pemimpin pembangkang, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penakut kerana tidak berani turun berdepan dengan pengundi di pilihanraya kecil Batu Talam.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menyifatkan pemimpin pembangkang, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penakut kerana tidak berani turun berdepan dengan pengundi di pilihanraya kecil Batu Talam.
"Pemimpin pembangkang Lim Kit Siang, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, Anwar dan Nasharuddin Mat Isa semuanya penakut dan tidak berani turun berdepan dengan pengundi.
"Jika mereka berterusan begini, lebih baik mereka mengundur diri dan membubarkan parti mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hari penamaan calon pilihanraya kecil Batu Talam di pejabat daerah Raub hari ini.
Sebelum itu, Khairy bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengiringi calon BN, Abdul Aziz Kiram, 47, menyerah borang pencalonan di pejabat daerah Raub.
Pilihanraya kecil Batu Talam akan menyaksikan pertandingan antara Abdul Aziz dengan calon bebas, Ng Chee Pang, 22.
Khairy mendakwa bahawa calon bebas itu ditaja oleh DAP "dan mungkin juga PKR dan PAS berada di belakang mereka..."
Bapa calon bebas itu - Ng Kui ling - merupakan bendahari DAP Pahang.
Mahu hattrick
"Saya sangat merindui kehadiran pembangkang di Batu Talam kerana saya mahu mencatat keputusan hattrik 3-0 selepas pilihanraya kecil Kuala Berang (Terengganu) dan pilihanraya kecil Pangkalan Pasir (Kelantan)," katanya.
Menurut Khairy, alasan pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam atas alasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak adil adalah tidak boleh diterima "kerana SPR ini juga yang mengendalikan proses pilinanraya kecil di Pangkalan Pasir dan Kuala Berang.
"Kita akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberitahu rakyat bahawa inilah sikap pembangkang yang tidak serius membela rakyat melalui pilihanraya.
"Kita Umno, mempunyai halatuju dan perjuangan yang sangat jelas, iaitu membela rakyat, bukan sahaja semasa pilihanraya kecil tetapi sepanjang masa.
"Di manakah slogan pembangkang satu masa dulu yang mengatakan lawan tetap lawan...," katanya yang jelas merujuk kepada slogan PKR.
"Jadi sekarang dimanakan slogan tersebut. Ini membuktikan mereka tidak berani untuk berjuang untuk rakyat," tambahnya..

