Lawatan Thaksin ke S'pura: Thailand bertindak balas
Thailand telah menarik balik jemputan kepada Menteri Luar Singapura untuk melawat negara itu serta membatalkan mesyuarat antara perkhidmatan awam kedua-dua negara.
Thailand telah menarik balik jemputan kepada Menteri Luar Singapura untuk melawat negara itu serta membatalkan mesyuarat antara perkhidmatan awam kedua-dua negara.
Tindakan itu diambil ekoran rasa tidak puas hati kerajaan Thailand terhadap layanan Singapura terhadap bekas perdana menterinya Thaksin Shinawatra yang melawat republik tersebut.
Menurut jurucakap Kementerian Luar Thailand, Kitti Wasinondh lawatan Menteri Luar Singapura George Yeo itu dijadualkan pada 29 dan 30 Januari ini.
Katanya, satu mesyuarat membabitkan perkhidmatan awam kedua-dua negara yang dirancang dari 29 hingga 31 Januari juga turut dibatalkan.
Katanya, Duta Besar Singapura ke Thailand, Peter Chan Jer Hing telah dipanggil pagi semalam sebagai respons terhadap lawatan Thaksin ke republik itu dan bertemu Timbalan Perdana Menteri S Jayakumar.
"Meskipun Singapura berkata ia pertemuan peribadi, ia masih membabitkan pemimpin negara, dan ada kemungkinan mereka bercakap mengenai politik. Ia boleh menimbulkan masalah kepada Thailand dan menjejaskan hubungan kami," katanya.
Isu Shin Corp
Kitti berkata, layanan terhadap Thaksin itu bertentangan dengan jaminan yang dibuat oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong tahun lalu bahawa republik itu tidak akan berbuat sesuatu yang boleh menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Beliau bagaimanapun menafikan satu laporan televisyen tempatan bahawa Thaksin, yang disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera pada 19 September lalu, diberikan sambutan permaidani merah setibanya di Singapura minggu lalu.
Hubungan antara kedua-dua negara mula retak ekoran kontroversi pembelian Shin Corporation milik Thaksin oleh Temasek Holdings dari Singapura pada Januari tahun lalu.
Pembelian Shin Corp dilihat banyak pihak sebagai pencetus demonstrasi jalanan besar-besaran terhadap Thaksin tahun lepas yang berakhir dengan penyingkirannya.
Republik itu juga mengkritik rampasan kuasa yang menjatuhkan Thaksin.
Thaksin yang pasport diplomatiknya dibatalkan pada 10 Januari lalu, kini hidup dalam buangan sejak rampasan kuasa itu, dan menghabiskan masa di London, mengunjungi Beijing, Hong Kong, Bali dan Singapura.
Singapura kesal
Sementara itu, Bernama juga melporkan, Singapura kesal dengan keputusan Thailand menangguhkan program pertukaran perkhidmatan awam Singapura-Thailand (CESP) dan membatalkan mesyuarat CESP yang sudahpun diatur dan memansuhkan jemputan kepada Menteri Luar Singapura.
CESP Singapura-Thailand yang diwujudkan pada 1998, adalah sebuah forum bagi menggalakkan hubungan akrab dan mempertingkatkan kerjasama dua hala antara pelbagai agensi kerajaan kedua-dua negara. CESP dijadual bermesyuarat di Thailand mulai 29 hingga 31 Januari ini.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar berkata Singapura berharap Thailand menghormati kedudukan Singapura berhubung lawatan itu.
"Kerajaan Thai tidak memaklumkan kepada kami bahawa Thaksin telahpun didakwa terhadap apa-apa kesalahan. Selain itu, tiada sebarang halangan untuk beliau pergi ke negara mana pun. Beliau sendiri yang memilih untuk berkunjung ke Singapura.
"Thaksin meminta untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Prof S. Jayakumar, seorang sahabat lamanya. Pertemuan ini semata-mata sosial dan peribadi. Tiada kunjungan atau mesyuarat rasmi yang diatur," kata jurucakap itu menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata warga Thai tidak memerlukan visa untuk mengunjungi Singapura, oleh itu tiada sebab untuk Singapura menolak kunjungan Thaksin.
Sebelum Singapura, Thaksin turut melawat beberapa negara lain tanpa sebarang bantahan daripada kerajaan Thai, katanya.
"Oleh itu, kami dukacita kerana kerajaan Thai memilih untuk bertindak seperti ini.
"Kami harap Thailand akan menghormati kedudukan Singapura sebagai sebuah negara berdaulat. Kami menghargai hubungan mesra dengan Thailand yang terjalin sejak sekian lama," katanya
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.