Thailand dan Malaysia bersetuju untuk bertukar-tukar maklumat peribadi mengenai rakyat kedua-dua negara, termasuk gambar dan cap jari.

Akhbar Bangkok Post melaporkan persetujuan itu dicapai dalam usaha untuk menyelesaikan isu dua kerakyatan serta pergerakan penduduk di sepanjang kawasan sempadan.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri Thai Pongpayom Wasaphuti dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Aseh Che Mat, di Putrajaya minggu lalu.

Bernama memetik laporan Bangkok Post sebagai berkata, kedua belah pihak juga memperakui wujud halangan teknikal berikutan penggunaan perisian pangkalan data yang berbeza bagi kad pengenalan elektronik Thailand dan Malaysia.

Persetujuan itu dijangka dimuktamadkan semasa lawatan dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Thailand mulai Ahad ini.

Kad pengenalan pintar

Dalam lawatan itu, Abdullah dijangka membincangkan keadaan di selatan Thai bersama rakan sejawatannya Surayud Chulanont.

Thailand mengeluarkan kad pengenalan pintar dengan cap jari tetanam, kepada 1.2 juta penduduk di wilayah selatan yang majoritinya beragama Islam, bagi mencegah mereka daripada memasuki Malaysia selepas melancarkan serangan.

Lebih daripada 2,000 orang terbunuh dalam keganasan di Yala, Pattani dan Narathiwat, tiga wilayah yang mahu dimerdekakan oleh puak pemisah.

Tahun lalu, Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama membabitkan jabatan pendaftaran kedua-dua negara bagi membuat perbandingan pada senarai penduduk yang dipercayai memegang dua kerakyatan.

Thailand mendakwa kira-kira 50,000 penduduknya memiliki dua kerakyatan, kebanyakannya tinggal di kawasan sempadan.