Rumah yang didakwa berharga RM60 juta di Australia bukan milik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi milik anaknya, seorang ahli perniagaan terkemuka, Datuk Kamaluddin.

Ketika menjelaskan perkara tersebut, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga menantu Perdana Menteri berkata, beliau bagaimanapun, tidak tahu harga sebenar rumah di Perth itu.

"Mungkin tidak sampai RM60 juta...mungkin lebih rendah dari itu," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Khairy menjelaskan demikian ditanya mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa seorang pemimpin besar negara mempunyai rumah berharga RM60 juta di Perth.

Dr Mahathir membuat dakwaan demikian ketika berucap dalam satu majlis forum rakyat anjuran Umno cawangan Kulai Besar, Johor Khamis lalu.

Sebelum itu, Khairy bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain mengiringi calon MCA bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Lai Meng Chong ke pusat penamaan calon di Kompleks Japerun di Kampung Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka.

Lai akan ditentang oleh calon DAP, Liou Chen Kuang dalam pertandingan satu lawan satu. Hari pengundian ditetapkan pada 12 April ini.

'Tidak takut pada S'pura'

Khairy berkata, Dr Mahathir membuat dakwaan mengenai rumah berharga RM60 juta itu secara umum tanpa memberikan sebarang bukti.

Mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa pemimpin Malaysia terlalu takut kepada pemimpin Singapura, Khairy berkata, mereka tidak pernah takut kepada republik itu tetapi sebarang dasar luar mengutamakan kepentingan negara.

"Dasar luar Malaysia berdasarkan kepada prinsip tegas dan berani dengan semua negara termasuk dengan Singapura," katanya.

Menurut Khairy lagi, pembatalan Jambatan Bengkok dibuat untuk kepentingan negara dan bukannya kerana desakan pemimpin Singapura.

Khairy juga menjelaskan bahawa Pemuda Umno telah mengambilkira kepentingan orang Melayu Johor dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Katanya, Permuda Umno Johor telah beberapa kali membincangkan perkara tersebut dengan Pemuda Umno Pusat mengenai masa depan dan peluang orang Melayu Johor dalam WPI.

"Saya juga telah menulis dua rencana mengenai WPI dalam akhbar tempatan...mengenai kebaikan dan peluang untuk mereka.

Isu WPI

"Saya telah huraikan apa yang perlu kita waspada mengenai WPI dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat.

"Saya anggap beliau (Dr Mahathir) tidak baca rencana itu, jadi beliau tidak tahu," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara DAP dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanra kecil Machap, Khairy berkata, mereka berbohong sesama mereka.

Katanya, dalam pilihanraya umum 1999, DAP dan PKR bekerjasama erat, berpecah pada 2004 dan kini berbaik dan bergabung semula.

"Kalau mereka boleh berbohong sesama sendiri, mereka juga boleh berbohong kepada rakyat. Mereka tidak ada formula sesama sendiri, jadi macam mana hendak perintah negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir tentang rumah berharga RM60 juta di Australia itu, enggan menjawabnya kerana berkata ia tiada kaitan dengan pilihanraya kecil Machap.