Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud telah dikaitkan dengan satu skandal yang didakwa membabitkan pembayaran RM32 juta sogokan oleh syarikat perkapalan Jepun bagi mengimport balak dari negeri tersebut.

Mengikut akhbar Japan Times , sogokan tersebut dibayar sepanjang tempoh tujuh tahun kepada sebuah syarikat Hong Kong yang dikatakan ada kaitan dengan keluarga Taib.

Wang tersebut datangnya daripada kartel Jepun yang dianggotai oleh sembilan buah syarikat yang membeli balak dari Sarawak.

Mereka membuat bayaran itu kepada syarikat Hong Kong Regent Star sebanyak, 1.1 billion yen (RM32 juta) bagi perkhidmatannya dalam urusniaga tersebut. Jumlah itu diklasifikasikan sebagai perbelanjaan dan oleh itu tidak dikenakan cukai.

Bagaimanapun, pihak berkuasa percukaian Jepun mendapati bayaran tersebut bukan "perbelanjaan yang sah" kerana perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat Hong Kong tersebut terlalu sedikit dan tidak berpadanan dengan pendapatan tersebut.

Sebaliknya, Biro Percukaian Wilayah Tokyo mengklafikasikannya sebagai 'rebet' yang dikenakan cukai.

Akhbar tersebut melaporkan, firma-firma perkapalan terbabit mungkin dikenakan lebih 400 juta yen (RM11.6 juta) tunggakan cukai bersama denda yang berat kerana "menyembunyikan" pembayaran tersebut daripada pengetahuan pihak berkuasa.

Permudah urusniaga

Menurut laporan akhbar Japan Times Khamis lalu, firma-firma perkapalan berkenaan dipercayai menggunakan pembayaran tersebut untuk mempermudahkan urusniaga balak mereka.

Firma-firma perkapalan itu yang telah menolak dakwaan pihak berkuasa percukaian itu dan menegaskan bahawa urusniaganya dengan Regent Star adalah sah menafikan mereka melakukan sebarang kesalahan.

Eksport balak Sarawak dikuasai oleh kerajaan negeri melalui Dewaniaga Sarawak yang diketuai oleh adik lelaki Ketua Menteri.

Kartel Jepun yang kaya itu ditubuhkan pada 1962 untuk mengelak persaingan sengit antara firma-firma perkapalan dalam mengimport balak dari Asia Tenggara, termasuk Sarawak.

Antara firma yang dikaitkan dengan skandal mengelak pembayaran cukai itu ialah firma perkapalan Mitsui OSK, Kinkai Ltd dan NYK-Hinode Line.

Kartel tersebut menandatangani satu perjanjian pada 1981 dengan Dewaniaga Sarawak untuk mengeksport balak ke Jepun.

Taib, yang merupakan ketua menteri yang paling lama berkhidmat, dipercayai salah seorang ahli politik terkaya di Malaysia.

Keluarganya mempunyai kepentingan perniagaan yang meluas di Sarawak sejak Taib menjadi Ketua Menteri 25 tahun yang lalu, terutama melalui syarikat tersenarai Cahaya Mata Sarawak dan banyak anak syarikatnya di mana isteri Taib Laila mempunyai pegangan yang besar.

Adalah dianggarkan bahawa keluarga Taib bernilai sekurang-kurangnya RM2 bilion, walaupun ia tidak disahkan secara rasmi.

Penjelasan Pak Lah di Parlimen

Dalam reaksinya, Ketua Pembangkang, Leader Lim Kit Siang berkata, beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengenai perkara tersebut.

"Dalam surat tersebut, saya mengingatkan Abdullah mengenai janjinya ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri ... untuk menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai agenda utamanya, (dan) pengisytiharannya mengenai 'toleransi sifar rasuah'.

Lim menggesa Abdullah supaya hadir sendiri di Parlimen Isnin itu untuk menjawab banyak dakwaan serius mengenai rasuah di peringkat tertinggi dalam kerajaannya.

Minggu lalu, malaysiakini melaporkan mengenai Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman, yang juga menghadapi dakwaan terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sebelum ini, dakwaan rasuah dibuat terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor dan terhadap Timbalannya di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum.

Kedua-dua mereka telah menafikan dakwaan tersebut dan kini sedang dalam siasatan. Berita asal