Al Jazeera siar kes murtad di Malaysia
Stesen berita satelit Al Jazeera telah menyiarkan kisah seorang wanita rakyat Malaysia yang telah dipisahkan daripada suaminya yang beragama Hindu serta anak kecilnya yang baru berusia 15 bulan kerana berlainan agama.
Stesen berita satelit Al Jazeera telah menyiarkan kisah seorang wanita rakyat Malaysia yang telah dipisahkan daripada suaminya yang beragama Hindu serta anak kecilnya yang baru berusia 15 bulan kerana berlainan agama.
Pihak berkuasa agama Islam dan ibu bapa wanita tersebut mendakwa dia adalah seorang Islam bernama Siti Fatimah.
Suaminya, Suresh Veerapan berkata, isterinya itu tidak mengamalkan ajaran Islam, tetapi seorang penganut Hindu yang dilahirkan oleh keluarga beragama Islam dan bernama Revathi Masoosai.
Revathi atau Siti Fatimah telah dihantar ke pusat pemurnian Islam di Ulu Yam, Selangor. Pasangan tersebut adalah dari Melaka.
Rabu lalu, Mahkamah Syariah telah melanjutkan tempoh penempatannya di pusat itu selama 80 hari lagi. Dia telahpun ditempatkan di situ selama 100 hari selepas didakwa telah murtad kerana meninggalkan agama Islam.
Suresh juga mengadu bahawa pegawai agama Islam telah menghalangnya melawat isterinya di pusat tersebut. Anak mereka dijaga oleh ibu mentuanya.
Hos program selama 10 minit itu Everywomen Shiulie Ghosh (photo) menemubual Suresh dan ibu mentuanya mengenai perkara itu.
Krew diugut
Krew program tersebut juga mengikuti Suresh ke pusat tersebut. Mereka sempat merakamkan saat-saat pertemuan pasangan tersebut di pintu pagar pusat yang berkunci Suresh di sebelh luar manakala isterinya di sebelah dalam.
Mereka bercakap melalui pintu pagar tersebut selama beberapa minit dalam bahasa Tamil sambil diawasi oleh seorang pegawai agama di situ.
Video itu juga menunjukkan seorang pegawai agama di situ mengugut krew program tersebut supaya berhenti merakam gambar di situ, dan berkata, dia akan memanggil pihak polis jika mereka enggan berhenti.
Video tersebut menunjukkan Suresh sedang mententeramkan isterinya dan memintanya supaya berani dan kuatkan diri.
"Saya akan berbuat apa juga untuk membawamu keluar dari dari sini. Kita akan bersama lagi," katanya dalam bahasa Tamil.
Pada awal program tersebut, ibu mentuanya berkata, beliau akan membesarkan cucunya itu sebagai seorang Islam dan mahu anak perempuan itu terus memegang kepada ajaran Islam.
Shiulie juga menemubual Zainah Anwar dari Sisters in Islam dan Farid Suffian Shuaib seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung isu kebebasan beragama di Malaysia.
Everywoman merupakan program mingguan mengenai wanita. Program itu akan diulangsiar pada jam 1.30 petang esok, jam 3.30 petang Rabu dan jam 2.30 petang Khamis. Siaran Al Jazeera boleh diikuti melalui Saluran 20 di Astro.
Malaysiakini akan menyiarkan sepenuhnya rakaman video tersebut minggu depan. Hari ini, malaysiakini menyiarkan sedutannya selama 60 minit.
Klip video di bawah
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.