Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tinjauan malaysiakini ke Kampung Bukit Badong kawasan majoriti penduduk Melayu di Ijok mendapati ramai daripada mereka tetap mahu mengundi calon Melayu dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok esok.

Ini bermakna mereka mungkin memberi undi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim. Manakala Barisan Nasional (BN) diwakili oleh calon keturunan India, K Parthiban.

Penduduk yang ditemui malaysiakini hari ini berkata daripada apa yang dengar, ramai penduduk di situ berkata mereka akan tetap memilih calon Melayu esok.

Mohamad Kayat Jam Jam, 60, berkata, pengundi muda yang berumur 40 tahun ke bawah cenderung kepada calon PKR.

Manakala, pengundi wanita pula, katanya, kebanyakannya akan mengundi Parthiban sebagaimana mereka mengundi calon-calon BN dalam pilihanraya sebelum ini.

"Saya tidak nampak kesan besar kepada Parthiban hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kampung Bukit Badong dan Kampung Jaya Setia semalam.

"Penyokong PKR dan PAS akan mengundi Khalid, malah pengundi atas pagar yang berbangsa Melayu pun dijangka turut mengundi Pengerusi PKR Selangor itu.

"Sekarang yang menjadi tandatanya ialah penyokong dan ahli Umno kerana sebelum ini mereka mahu calon BN seorang berbangsa Melayu," katanya ketika ditemui hari ini.

Tidak puashati

Seorang lagi pengundi Taman Bukit Badong, Mat Zain Marjuni, 66, berkata amat sukar bagi Parthiban mendapat undi dari orang Melayu kerana mereka tidak puashati dengan wakil rakyat BN sebelum ini.

Katanya, walaupun Perdana Menteri datang berkempen untuk menyokong calon BN, ia bukan jaminan orang Melayu akan mengundi Parthiban esok.

Beliau berkata, semua orang datang ke majlis Perdana Menteri tetapi tidak ada siapa yang tahu adakah mereka akan mengundi BN.

"Jika BN meletak orang Melayu sebagai calonnya, mereka tidak perlu berkempen dan mengeluarkan belanja RM37 juta untuk pilihanraya kecil Ijok," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Aishah Kijo pula berkata, orang PAS menyindir penyokong Umno dengan mengatakan `orang kampung dapat lampu Aladin' kerana kerajaan memberi projek tanpa dimohon.

Katanya, tidak mungkin penyokong PAS atau pengundi atas pagar mengundi calon BN kerana setahunya, mereka mahu pengundi Melayu mewakili mereka di Ijok.

Pilihanraya kecil Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk K Sivalingam pada 4 April lalu.

Ijok mempunyai 12,272 pemilih dengan pengundi Melayu seramai 51.04 peratus, India 28.16 peratus dan Cina 20.59 peratus serta 39 undi Pos.

ADS