Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah memberitahu PAS bahagian Pokok Sena bahawa mereka mahu melantik seorang ahli parti itu Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengarah Strategi PKR, kata ketua PAS Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, Saifuddin (foto) juga tidak pernah memberitahu beliau atau pemimpin PAS Pokok Sena yang lain bahawa beliau ditawarkan jawatan tersebut.

"Ini berita yang baru saya dengar. Sehingga hari ini, Saifuddin masih seorang ahli PAS kerana beliau telah menyertai parti ini Januari lalu.

"Saya tidak tahu, pada masa sama, beliau masih lagi ahli PKR tetapi yang saya tahu ialah Saifuddin merupakan bekas pemangku ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR bagi kerusi Lunas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahfuz , yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Saifuddin sebagai pengarah strategi PKR seperti yang diumumkan oleh penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kongres nasional PKR di Seremban, Ahad lalu.

Bagaimanapun, PAS kata, Mahfuz tidak menghalang Saifuddin untuk menjadi pengarah strategi PKR kerana jika ia lebih baik kepada masa depannya, beliau perlu menerima tawaran tersebut.

Sijil penyertaan

"Saifuddin tidak pernah membuat permohonan untuk meninggalkan PAS, sebaliknya beliau pernah berjanji untuk terus komited dengan parti.

"PAS kawasan Pokok Sena sedang mengatur satu program untuk menyampaikan satu sijil penyertaan kepada Saifuddin kerana menyertai PAS kawasan ini," katanya lagi.

Saifuddin ketika ini menjadi pengurus Yayasan Tok Kenali yang ditubuhkan oleh kerajaan PAS Kelantan yang berpusat di Kota Baru.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Saifuddin yang dilantik sebagai pengarah strategi PKR.

Ketika diminta mengulas lanjut yai masalah untuk melepaskan Saiffudin yai Omar.

Mahfuz yang juga bekas ketua Pemuda PAS Pusat turut mengulas mengenai perbincangan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti pembangkang tersebut bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata, sepatutnya soal pembahagian kerusi antara PAS dan PKR sudah selesai dan bukannya dibuat di saat-saat akhir, kerana menyukarkan parti membuat persiapan menghadapi pilihanraya.

Pembahagian kerusi

"Persiapan tergesa-gesa sering menimbulkan banyak masalah, terutama bagi parti yang bertanding banyak kerusi seperti mendapatkan calon yang sesuai dan diterima pengundi," katanya.

Mahfuz berkata, perbincangan yang dibuat pada saat akhir memungkinkan hanya seorang pemimpin sahaja yang membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi pilihanraya.

"Saya bimbang keputusan hanya dibuat seorang pemimpin sahaja tetapi diberitahu kepada ahli parti bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan bersama," katanya.

Sebelum ini, Anwar berkata, PKR akan mengadakan perbincangan dengan PAS dan DAP tidak lama lagi bagi menentukan pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh parti pembangkang tersebut.

Anwar meramalkan pilihanraya umum akan diadakan awal Ogos ini walaupun tempoh kerajaan sekarang berakhir pada 2009.

ADS