Ini kerana arus kebangkitan golongan konservatif yang dikaitkan dengan golongan ulama dalam PAS begitu kuat sepertimana yang dapat dilihat dalam keputusan pemilihan Dewan Pemuda dan Muslimat parti tersebut.
Dengan mengekalkan Nasharuddin, ia secara tidak langsung, mencerminkan hasrat PAS untuk mengekalkan imej sederhana yang dibawa oleh timbalan presiden itu serta golongan profesional lain dalam kepimpinan PAS selama ini. Rentak kepimpinan mereka yang dianggap terlalu banyak bertolak ansur dengan parti-parti pembangkang yang lain Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dan dalam soal-soal yang membabitkan Islam dan orang Melayu, tidak disenangi oleh golongan konversatif dalam parti itu.
Dan sikap tersebut telah dieksploitasi sepenuhnya oleh lawannya dari Barisan Nasional (BN), khususnya dari Umno yang mewakili oleh orang Melayu dalam BN.
PAS dilihat tidak banyak bercakap mengenai soal-soal yang menyentuh Islam. Malah, ada kalangan ahli-ahli parti itu yang memilih untuk memperjuangkan isu tersebut melalui badan bukan kerajaan (NGO), seperti dalam isu penentangan cadangan penubuhan Majlis Antara Agama (IFC) dan penentangan terhadap gabungan Artikel 11.
Isu murtad
Begitu juga dalam isu murtad. Ketika pemimpin pembangkang serta NGO menyuarakan reaksi mereka terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy, kecuali Mursyidur Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tiada seorang pemimpin utama PAS lain yang membuat sebarang kenyataan.
Selepas sepenggal PAS memerintah Terengganu, Umno merampasnya semula dalam pilihanraya umum 2004. Malah, kerajaan PAS di Kelantan sendiri agak goyang apabila hanya mempunyai kelebihan satu kerusi (23-22) dengan BN.
Sebelum itu, PAS kehilangan rakannya dalam Barisan Alternatif DAP yang bertindak meninggalkan barisan pembangkang itu kerana tidak setuju dengan dasar PAS yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia. Malah baru-baru ini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa telah menyuarakan kebimbangannya tentang kemungkinan Kelantan juga terlepas ke tangan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Walaupun beliau berkata kemungkinan itu akan berlaku sekiranya berlaku penyelewengan dalam proses pilihanraya umum akan datang, tetapi ia tetap mencerminkan kebimbangan PAS akan kehilangan Kelantan yang diperintahnya sejak 1990.
Selepas melihat kumpulan konservatif dan ulama muda berjaya memenangi jawatan penting dalam Dewan Pemuda dan Muslimatnya, maka sebahagian daripada ucap dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menekankan soal kesederhanaan dalam parti itu.
Lambang kesederhanaan
Beliau telah mengembalikan ingatan para perwakilan kepada perjuangan presiden PAS sebelum beliau, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, yang menjadi lambang kesederhanaan dalam parti. Allahyarham merupakan pemimpin PAS yang tidak memakai jubah seperti Hadi dan Nik Aziz, tetapi sepanjang masa memakai baju Melayu.
Apakah yang dimaksudkan oleh Hadi dengan gabungan dan kerjasama antara pemimpin golongan ulama dan profesional dalam PAS?
Pemerhati politik berpendapat, beliau merujuk kepada imej parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, yang didesas-desuskan seawal Ogos ini.
Dalam lain perkataan, PAS memerlukan golongan profesional seperti Nasharuddin dan Husam dalam barisan kepimpinan tingginya bagi mencerminkan imej kesederhanaan dalam parti itu.
PAS memerlukan pemimpin seumpama itu untuk meyakinkan parti-parti pembangkang lain, khususnya PKR dan DAP sendiri, untuk merasa selesa apabila berundingkan pakatan antara pembangkang untuk berdepan dengan BN dalam pilihanraya umum nanti.
Rasanya, PKR dan DAP akan lebih selesa untuk bercakap mengenai kerajaan campuran sekiranya pembangkang berkuasa selepas pilihanraya umum nanti, dengan adanya barisan pemimpin yang sederhana dan rasional seperti Nasharuddin dan Husam serta sebilangannya lagi.
Malah, rasanya, DAP yang sudah berpatah arang dengan Abdul Hadi dan Nik Aziz sehingga bertindak meninggalkan BA, masih boleh duduk semeja dengan pemimpin sederhana seperti Nasharuddin dan Husam.
Kelab penyokong PAS
Ini ditambah pula dengan penubuhan kelab-kelab penyokong PAS yang dianggotai oleh penyokong parti itu dari kaum Cina dan India. Ini menandakan orang bukan Islam sudah boleh menerima PAS.
Ini penting supaya tidak timbul persoalan sama ada PAS akan membela nasib orang bukan Islam dan bekerjasama dengan parti-parti utama yang lain untuk memerintah negara.
Tetapi pada masa yang, PAS masih perlukan Abdul Hadi dan Nik Aziz dalam barisan kepimpinan tertingginya bagi mengekalkan imej kepada para pengundi Melayu-Islam bahawa PAS masih seperti dahulu juga masih lantang memperjuangkan Islam.
Mungkin kerana pilihanraya umum akan tiba tidak lama lagi, maka ahli-ahli PAS boleh memaafkan Nasharuddin dan rakan-rakan profesionalnya dalam parti itu untuk kali ini dan menolak cabaran kumpulan konservatif yang diketuai oleh Datuk Harun Taib, yang mencabar Nasharuddin bagi jawatan timbalan presiden.
Jika prestasi PAS dalam pilihanraya umum akan datang adalah baik, maka ia akan menjadi bukti bahawa para perwakilan telah membuat keputusan yang betul dalam pemilihan kali ini.
Jika tidak, sudah pastai senarionya akan berubah dalam pemilihan parti itu selepas pilihanraya umum nanti. Sama-samalah kita tunggu dan lihat