Umno Swak: Kami akan terus buka cawangan, kata Affendi
Penaja Umno Sarawak akan terus membuka lebih banyak cawangan Umno di negeri itu kerana ia dibuat atas kehendak rakyat Sarawak dan bukannya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu, kata pengerusi jawatankuasa penajanya, Affendi Jeman.
Penaja Umno Sarawak akan terus membuka lebih banyak cawangan Umno di negeri itu kerana ia dibuat atas kehendak rakyat Sarawak dan bukannya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu, kata pengerusi jawatankuasa penajanya, Affendi Jeman.
Katanya, keinginan rakyat Sarawak terhadap Umno dapat dilihat daripada sokongan luar biasa mereka, berdasarkan kepada permohonan keahlian yang diterima pihaknya.
"Sebagai bukti, kini terdapat 113 cawangan penaja Umno di Sarawak, dengan keahlian seramai kira-kira 15,000 ahli sejak Mac lalu. Rakyat Sarawak sangat memerlukan Umno sebagai pembela mereka.
"Jika PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh masuk ke Sarawak, mengapa Umno tidak boleh, sedangkan kami rakyat Sarawak sangat mengalu-alukan kedatangannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan berkata belum ada cadangan untuk menubuhkan Umno di Sarawak.
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, parti itu juga tidak pernah mengiktiraf mana-mana usaha untuk menubuhkan Umno di Sarawak.
Sedia serah tanggungjawab
Najib berkata kumpulan yang mendakwa menjadi penaja parti itu dan memanggil diri mereka sebagai Jawatankuasa Penaja Umno Sarawak adalah tidak sah kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan
Sabtu lalu, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg menafikan desas-desus kononnya Umno berhasrat mengembangkan sayapnya ke Sarawak kerana isu tersebut tidak pernah dibincangkan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri.
Menurut Affendi lagi, pihaknya mendapat tahu beberapa pemimpin politik BN Sarawak menentang kemasukan Umno ke negeri itu, terutamanya kerana bimbang kedudukan mereka tergugat.
"Dalam hal ini saya ingin menegaskan, jika mereka mahu mengambilalih jawatankuasa penaja Umno Sarawak, kami semua sedia menyerahkan tanggungjawab itu dengan senang hati," katanya.
Affendi berkata, tidak ada pihak yang boleh menghalang pihaknya daripada membuka lebih banyak cawangan penaja Umno kerana ia merupakan kehendak rakyat Sarawak.
Tiada masalah'
"Lebih baik Umno membuat pertimbangan semula dengan mengembangkan sayap ke Sarawak sebagaimana mereka lakukan di Sabah sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu itu tetapi sebaliknya kerana rakyat Sarawak memerlukan Umno sebagaimana penduduk negeri lain.
Pada peringkat awal penubuhan, kata Affendi, pihaknya telah memberi penerangan kepada beberapa pemimpin parti politik Sarawak, termasuk PBB bahawa kemasukan Umno tidak akan menimbulkan sebarang masalah dalam politik tempatan.
Katanya, permohonan kepada Ibu Pejabat Umno supaya melebarkan sayap ke Sarawak telah dibuat tetapi belum mendapat sebarang jawaban.
Selain itu, katanya, ahli jawatankuasa (AJK) penaja Umno Sarawak pernah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin Umno Pusat mengenai perkara tersebut tetapi tiada sebarang hasil.

