Bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock, dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini tanpa dipanggil membuat pembelaan.
Hakim Akhtar Tahir berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang cukup bagi satu kes prima facie terhadap Chia, demikian menurut laporan Bernama.
Ketika membacakan 30 muka surat penghakiman, Akhtar berkata, mahkamah serba kekurangan untuk membuat penilaian maksimum kerana saksi-saksi material tidak dipanggil langsung untuk memberi keterangan dalam perbicaraan ini.
"Bagi semua alasan yang diberikan, saya memutuskan bahawa pendakwa gagal mebuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu membebas dan melepaskan tertuduh dari tuduhan utama dan pilihan," katanya.
Pada 10 Februari 2004, Chia, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan asal melakukan pecah amanah melibatkan jumlah wang yang sama dengan, secara tidak jujurnya, mengarahkan pembayaran wang itu kepada akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd di Hong Kong bagi kerja teknikal di kilang syarikat itu Gurun, padahal pembayaran itu tidak perlu dibuat.
Enam bulan kemudian, beliau didakwa terhadap tuduhan dipinda iaitu meluluskan secara tidak jujur wang itu dengan mengadakan perjanjian dengan NKK Corporation dari Jepun, dan mengarahkan pembayaran wang itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd.
Chia, 74, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai pengarah urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd di pejabatnya di Menara UBN di Jalan P Ramlee di sini antara 4 Nov 1993 dan 22 Feb 22 1994.
Kedua-dua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua tahun dan 20 tahun, dan sebat serta denda.
Chia, yang diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, duduk di belakang pasukan pembelaannya kerana beliau uzur.
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Yusof Zainal Abiden menutup kesnya pada 4 Mei lalu setelah memanggil 29 saksi.
Alasan penghakiman
Mengenai alasan itu, buat permulaan Akhtar meninjau tuduhan utama di mana pendakwa bergantung kepada tiga perjanjian bantuan teknikal (TAA) yang ditandatangan antara Perwaja dan NKK Corporation, sebuah syarikat besi dari Jepun, dan perjanjian sama juga menjadi asas kepada tuduhan pilihan.
Dalam tuduhan pilihan, katanya, pendakwaan mendakwa bahawa perjanjian itu tidak sah dan pembayaran itu tidak diiktiraf kerana ia belum diluluskan oleh lembaga pengarah atau jawatankuasa tender.
Dalam tuduhan utama, Akhtar berkata pendakwa didakwa sebagai mengatakan bahawa kontrak itu sah tetapi bayaran tidak diiktiraf dari masa perjanjian itu dimenterai sehingga masa pembayaran dilakukan antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.
"Pendakwaan tidak menyebut perkataan tidak jujur atau pemberikuasaan dalam tuduhan pilihan berbanding tuduhan utama. Jadi ini bercanggah niat pendakwaan kerana mereka perlu membuat pendirian apabila mengatakan apa bentuk dakwaan ke atas seseorang.
"Pendakwaan harus membuat pendirian sama ada kontrak itu sah tetapi tidak beri kebenaran untuk pembayaran atau kontrak itu sendiri tidak sah," katanya.
Akhtar berkata, tuduhan mesti tepat dan khusus dalam menuduh seseorang kerana tertuduh berhak mengetahuinya dari awal lagi.
Oleh itu, Akhtar berkata wujud kekurangan hala tuju dalam pendakwaan dalam menetapkan dakwaan terhadap Chia.
Pilihan Dr M
Sementara itu, Chia yang berkerusi roda berkata: Kebenaran telah terserlah tetapi tuduhan itu telah menghancurkan keluarga saya.
"Anak lelaki saya terpaksa ke Amerika Syarikat manakala anak perempuannya ke Hong Kong untuk mencari kerja kerana malu.
"Saya telah menjadi mangsa fitnah. Ia telah menghancurkan keluarga saya. Saya tinggal seorang diri di sini (Malaysia). Malah, rakan-rakan saya juga menjauhkan diri, katanya.
Chia berkata, beliau menerima tugas di Perwaja kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesanya supaya menerima tawaran tersebut pada tahun 1988.
"Dr Mahathir memberitahu saya: Anda datang ke Malaysia dari Singapura dengan berbekalkan lima ringgit. Negara itu telah memberi rahmat kepada anda. Sekarang menjadi tugas anda untuk berkhidmat kepada negara ini, katanya.
"Sekarang saya boleh meneruskan kehidupan. Tetapi keluarga saya sudah hancur. Anak-anak saya tidak boleh balik. Ini negara saya dan saya hidup dan mati di sini, katanya.
|