PI: Altantuya berkahwin dengan Razak di Hong Kong
Seorang penyiasat persendirian, Ang Chong Beng memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa model Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu, telah berkahwin dengan Abdul Razak Baginda Abdullah di Hong Kong selama dua tahun.
Seorang penyiasat persendirian, Ang Chong Beng memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa model Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu, telah berkahwin dengan Abdul Razak Baginda Abdullah di Hong Kong selama dua tahun.
Ang, 56, berkata perkara itu diberitahu sendiri oleh Altantuya tetapi wanita Mongolia itu tidak pernah menunjukkan sebarang bukti atau dokumen mengenai perkahwinan itu, demikian menurut laporan Bernama.
Ang yang memberi keterangan sebagai saksi kelima pendakwaan pada hari kelapan perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong.
Ketika ditanya Wong "adakah kamu tahu dalam undang-undang Islam di Malaysia orang Islam hanya boleh berkahwin sesama Islam"?, Ang menjawab: "Saya tahu".
Bagaimanapun ketika ditanya adakah dia mengetahui apakah agama Altantuya, Ang berkata: "Tidak tahu".
Ang berkata beliau diupah Altantuya pada September 2006 untuk mendapatkan maklumat sama ada Abdul Razak berada di Malaysia atau di luar negara.
Penyiasat persendirian itu juga mengakui bahawa laporan polis yang dibuat oleh sepupu Altantuya, Namiraa Gerelmaa sebenarnya diambil daripada pengetahuannya sepanjang bekerja dengan Altantuya.
Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, membunuh Altantuya, 28, antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Shah Alam.
Penganalisis politik itu dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 9.54 pagi 18 Okt dan 9.45 malam, 19 Oktober 2006 di pejabatnya di Bangunan Lembaga Getah Asli di Ampang.
Tidak siasat
Terdahulu, kepada soalan lain Wong sama ada Ang, sebagai seorang penyiasat persendirian yang mempunyai 22 tahun pengalaman dalam bidang itu, menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh Altantuya, penyiasat persendirian itu menjawab: Setuju."
Ang berkata beliau tidak mengetahui sama ada Abdul Razak telah berkahwin pada September 2006 dan tidak juga menjalankan siasatan untuk mengesahkan perkara itu.
Katanya kali pertama beliau mengetahui Abdul Razak telah beristeri ialah pada 13 Oktober 2006, tetapi tidak mengetahui siapakah isterinya dan beliau juga tidak pasti apakah agama yang dianuti Altantuya dan Abdul Razak sehinggalah pada hari tersebut (13 Oktober 2006), beliau akhirnya mengetahui Abdul Razak beragama Islam.
Semasa Ang mengakui beliau tahu bahawa mengikut undang-undang di Malaysia, orang Islam hanya boleh berkahwin dengan orang Islam sahaja, Abdul Razak dilihat menunjukkan mimik muka seolah-olah `geli hati' dan tersenyum kepada wartawan yang duduk di belakangnya.
Wong: "Pada 13 Oktober 2006 setelah anda tahu Abdul Razak adalah seorang Islam, telah berkahwin dan isterinya bukan Altantuya, adakah anda merasa syak wasangka bahawa Altantuya berbohong bahawa Abdul Razak ialah suaminya?"
Ang: "Tidak".
Wong: "Sebagai penyiasat persendirian kepada Altantuya, ada anda nasihatkan Altantuya bahawa dia tidak boleh berkahwin dengan orang Islam di bawah undang-undang di Malaysia?"
Ang: "Tiada".
Saksi itu memberitahu beliau juga tidak pernah menasihati pelanggannya itu untuk berjumpa dengan peguam tentang hal-hal berkaitan perkahwinan.
Cari alamat
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup iaitu adakah satu keperluan dalam tugas seorang penyiasat persendirian yang mencari alamat seseorang, perlu mencari fakta tentang perkahwinan seseorang, Ang berkata: "Kami tidak ada kuasa tanya."
Manoj: "Adakah kamu kisah atau tidak?"
Ang: "Saya hanya percayakannya sahaja."
Manoj: "Jadi itu bukan urusan kamu?."
Ang: "Bukan urusan saya. Biasanya saya tidak ambil kisah. Kalau seseorang beritahu dia dah berkahwin, itu sudah cukup. Jika ada kes perceraian kami perlukan sijil."
Kepada soalan lain Wong, Ang berkata Altantuya dan dua lagi wanita Mongolia pernah mengunjungi pejabat Abdul Razak dan dua wanita Mongolia itu pernah pergi ke pejabat Abdul Razak di Bangunan Lembaga Getah Asli Malaysia di Ampang lebih dari tiga kali.
Beliau berkata setiap lawatan mereka itu, Abdul Razak enggan berjumpa dengan Altantuya.
Wong: "Kalau tertuduh enggan jumpa Altantuya, adakah timbul syak wasangka pada anda bahawa Altantuya bukan isteri tertuduh?"
Ang: "Tiada."
Wong: "Kalau tertuduh enggan berjumpa Altantuya, adakah timbul syak wasangka pada anda bahawa ketiga-tiga wanita Mongolia itu mungkin menggangu tertuduh?"
Ang: "Ada".
Wong: "Adakah anda tahu bahawa gangguan boleh terjumlah kepada intimidasi iaitu suatu jenayah dalam undang-undang di Malaysia?"
Ang: "Tahu."
Ang kemudian disoal Wong berhubung lawatan beliau bersama Altantuya ke rumah anak guamnya pada 17 Oktober 2006 yang dicadangkan oleh peguambela itu sebagai suatu lawatan yang tidak diundang.
Harta persendirian
Ang yang bersetuju dengan cadangan Wong itu juga mengakui bahawa rumah Abdul Razak ialah harta persendirian dan mengetahui bahawa pelawat yang melawat tanpa izin boleh terjumlah kepada pencerobohan.
Wong: "Dari pengalaman kamu sebagai penyiasat persendirian, bila datang jam 11 malam di kawasan harta persendirian dan tanpa izin, apakah kesalahan yang boleh dilakukan oleh tertuduh?"
Ang: "Tidak tahu."
Wong: "Kamu telah beri keterangan Altantuya dibawa oleh polis ke balai dan hendak buat laporan. Adakah anda nasihatkan kepada Altantuya bahawa tiada asas untuk buat laporan polis?"
Ang: "Ada."
Dalam prosiding itu Ang turut diasak beberapa soalan berhubung tuntutan Altantuya untuk mendapatkan wang sebanyak AS500,000 dari Abdul Razak, antaranya apakah yang diberitahu oleh Altantuya jika Abdul Razak tidak membayar wang itu.
"Altantuya kata dia akan beritahu semua hal pada isteri Abdul Razak, anaknya, TV3 dan wartawan," jawab Ang.
Wong: "Bukankah itu peras ugut?"
Ang: "Tidak".
Wong: "Adakah anda tahu pada 17 Oktober, isteri dan anaknya sudah tahu hubungan antara tertuduh dengan Altantuya?"
Ang: "Tidak tahu."
Ang turut tidak bersetuju dengan cadangan peguambela itu bahawa sekiranya wang sebanyak AS$500,000 dibayar oleh Abdul Razak kepada Altantuya, sebahagian daripadanya akan dibayar sebagai upah kepada beliau.
Hantar SMS
Beliau turut menafikan pernah menghantar ugutan untuk mendapatkan wang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan meninggalkan pesanan suara kepada Abdul Razak.
Dalam keterangannya semalam, Ang memberitahu Altantuya membuat tuntutan wang itu terhadap Abdul Razak di hadapan Balasubramaniam dan pembantunya K Suras Kumar di luar balai polis Brickfields pada lewat malam 17 Oktober 2006.
Ang berkata sepanjang mengenali Altantuya, dia tidak pernah diberitahu tentang ugutan bunuh oleh Balasubramaniam dan Suras.
Pada akhir pemeriksaan balas oleh Wong, Ang dengan tegas menyatakan dia tidak bersubahat dengan Altantuya dan dua lagi wanita Mongolia itu untuk mengugut Abdul Razak dan menafikan bahawa laporan polis mengenai perkahwinan Altantuya dan Abdul Razak adalah palsu.
Naik teksi
Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Shah Alam.
Penganalisis politik itu dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober 2006 di pejabatnya di Bangunan Lembaga Getah Asli di Ampang.
Menurut laporan Bernama, Ang memberitahu mahkamah, dia tidak lagi menerima sebarang berita dari Altantuya selepas dia pergi ke rumah penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda pada 19 Oktober tahun lalu.
Katanya, sebelum kehilangannya, Altantuya memberitahunya bahawa P Balasubramaniam memintanya pergi ke rumah Abdul Razak untuk berjumpa dengan penganalisis politik itu.
Menurutnya, Altantuya memberitahunya perkara itu melalui panggilan telefon yang dibuat pada 6 petang 19 Oktober 2006, semasa beliau (Ang) sedang memandu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
Ang berkata, dalam perbualan itu, Altantuya telah meminta beliau menghantarnya ke rumah Abdul Razak di Damansara Heights tetapi beliau tidak dapat berbuat demikian kerana beliau berada di Johor ketika itu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup, berkata beliau kemudian menyuruh Altantuya pergi ke rumah Abdul Razak dengan menaiki teksi.
Laporan polis
Manoj: "Selepas itu, ada terima apa-apa panggilan lagi dari Altantuya?"
Ang: "Tiada."
Manoj: "Lepas itu bilakah kamu mendapat berita tentang apa yang berlaku pada Altantuya?"
Ang: "Pada pagi 20 Oktober, saya tak ingat pukul berapa, sepupunya telefon saya dan beritahu Altantuya tidak balik."
Selepas menerima panggilan itu, Ang berkata, dia telah berjumpa dengan dua wanita Mongolia, dikenalpasti sebagai Uuriintuya Gal Ochir dan sepupu Altantuya, Namiraa Gerelma, dan membawa mereka ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kehilangan Altantuya.
Ang berkata, sebelum laporan itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi di Jalan H S Lee, beliau telah bercakap dengan "Amy" (Burmaa Oyunchimeg) yang meminta untuk membuat laporan tentang kehilangan Altantuya.
Katanya. beliau telah menjadi penterjemah bahasa Malaysia kepada Namiraa yang tidak fasih berbahasa Inggeris untuk membuat laporan itu.
"Saya terjemah guna bahasa Malaysia. Dia tak pandai cakap Inggeris, dia hanya cakap bahasa Inggeris sepatah-sepatah dan bercakap `Altantuya no come back'," kata Ang.
Manoj: "Apa yang kamu beritahu polis bila Namiraa cakap `Altantuya no come back'?"
Ang: "Saya cakap pada polis Altantuya pergi ke rumah Abdul Razak dan tidak pulang lagi."
Kandungan laporan
Ang mengakui isi kandungan laporan polis itu dibuat menggunakan perkataannya sendiri tetapi berdasarkan pengetahuannya dan maklumat yang diberikan kepadanya oleh Namiraa serta Altantuya sebelum ini.
Ang berkata, maklumat seperti umur Altantuya dan nombor bilik penginapan mereka di Hotel Malaya diberitahu kepadanya oleh Namiraa.
Manoj: "Bagaimana dengan ayat kedua laporan iaitu `pada 19 Oktober 2006 kawan saya telah terima panggilan telefon dari satu lelaki India beritahu suaminya telah memintanya menjemput kawan saya pergi ke no. 22 Jalan Setiajaya Damansara Heights'? Maklumat ini dapat dari siapa?"
Ang: "Altantuya yang telefon saya pada 19 Oktober dan beritahu saya maklumat ini."
Manoj: "Ayat seterusnya `untuk pengetahuan kawan saya telah berkahwin dengan Abdul Razak bin Abdullah.' Maklumat ini dari mana?"
Ang: "Altantuya beritahu saya Abdul Razak ialah suaminya."
Saksi itu berkata bahawa selepas laporan itu dibuat, beliau menurunkan tandatangannya di ruang `jurubahasa' dan menerangkan kandungan laporan itu kepada Namiraa.
Ang berkata, dia ingin membuat laporan polis itu sendiri kerana mengetahui Altantuya sebagai pelanggannya telah hilang tetapi kerana hubungan Namiraa dan Altantuya lebih rapat, beliau membiarkan sepupu Altantuya itu yang membuat laporan polis.
Selepas laporan polis dibuat, dia telah meminta bantuan Inspektor Mohd Faizol Azuhan Che Omar untuk menyelamatkan Altantuya, dan mereka terus pergi ke rumah Abdul Razak.
Di luar pintu pagar rumah Abdul Razak, Ang berkata, dia telah menjerit "Abdul Razak lepaskan Altantuya" beberapa kali tetapi tiada jawapan.
Katanya P Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak, turut berada di situ ketika itu dan beliau juga melihat Faizol bercakap-cakap dengan Bala.
"Saya tak pasti apa yang mereka cakapkan. Selepas itu Inspektor Faizol beritahu saya, polis akan siasat dan suruh saya balik. Lepas itu saya balik dan hantar wanita Mongolia itu pulang ke hotel," kata Ang.
Ang juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah menghubungi Abdul Razak melalui telefon bimbitnya.
Rekod kemasukan dipadam
Dalam perbicaraan semalam, mahkamah diberitahu bagaimana rekod kemasukan model dari Mongolia itu dan dua lagi wanita warga Mongolia ke Malaysia telah dipadamkan daripada sistem komputer imigresen.
Rakan Altantuya, Uuriintuya Gal-Ochir, 30, memberitahu mahkamah bahawa dia menghadapi masalah di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 24 November tahun lalu apabila dia mahu kembali ke Mongolia kerana tiada rekod yang menunjukkan dia memasuki Malaysia, demikian menurut laporan Bernama.
"Tiada rekod mengenai kami (Altantuya, Namiraa Gerelmaa dan Uuriintuya) memasuki Malaysia. Mereka (pegawai-pegawai imigresen) menanya saya bagaimana saya datang ke Malaysia, dengan kapal laut atau menaiki kereta. Jadi saya tunjukkan tiket penerbangan saya kerana ia menyatakan tarikh saya memasuki Malaysia," katanya.
Menurutnya, dia terkandas di lapangan terbang selama dua jam dan pegawai-pegawai polis memberitahunya bahawa dia telah memasuki Malaysia secara tidak sah. Bagaimanapun, katanya, beliau dan bapa Altantuya, Setev Shaariibuu, kemudian dibenarkan kembali ke Mongolia.
Uuriintuya, yang memberi keterangan dalam bahasa Mongolia dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh seorang penterjemah Mongolia, Enkhjargal Tsetsgee, sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa dia tidak kembali ke Mongolia pada 26 Oktober tahun lalu, pada hari yang sama dengan Namiraa, kerana beliau tidak mempunyai pasport bersama-samanya ketika itu.
"Saya tidak balik (pada 26 Oktober tahun lalu) kerana saya tidak mempunyai pasport. Pasport saya disimpan oleh Altantuya dalam begnya dan dia (Altantuya) pula hilang," katanya, sambil dia hanya pulang ke Mongolia pada 24 November dengan Shaariibuu.
Keterangan Uuriintuya itu telah menimbulkan bunyi bisikan orang ramai dalam mahkamah berikutan soalan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang bertanyakan pada hari apa dia dan sepupu Altantuya, Namiraa, meninggalkan Malaysia untuk kembali ke Mongolia.
Peguam pemerhati
Mohd Zaki bertanya soalan itu kepada Uuriintuya selepas TPP Manoj Kurup menamatkan pemeriksaan balasnya terhadap saksi pendakwaan yang keempat itu (Uuriintuya).
Karpal Singh, yang juga peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya dan kerajaan Mongolia, kemudian memberitahu mahkamah bahawa keterangan beliau mengenai isu tersebut adalah penting dan beliau tertanya-tanya sama ada rekod kemasukan ketiga-tiga orang itu telah dihapuskan.
Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, yang mewakili Korporal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, kemudian bangun dan memberitahu mahkamah bahawa beliau hendak memeriksa balas Uuriintuya mengenai keterangan tersebut kerana keterangan bahagian tersebut tidak berbangkit daripada pemeriksaan utama oleh Manoj.
Kamarul Hisham berkata, saksi tersebut telah berlebih-lebih dalam memberikan jawapan kepada soalan yang diutarakan oleh Mohd Zaki dan juga bukan jawapan kepada soalan mahkamah tetapi hakim berkenaan memberitahu Kamarul Hisham supaya mengemukakan penghujahan terhadap keterangan tersebut dan beliau (hakim) telah merekodkan keterangan yang dinyatakan itu.
TPP Tun Abdul Majid Tun Hamzah meminta mahkamah supaya memadamkan keterangan Uuriintuya pada bahagian itu kerana ia tidak relevan kepada kes yang sedang dibicarakan kerana jawapannya bukan sebahagian daripada soalan yang ditanyakan oleh mahkamah.
Di peringkat ini, Kamarul Hisham bangun semula dan menyokong Tun Abdul Majid supaya keterangan itu dipadamkan. Bagaimanapun, Mohd Zaki memutuskan Kamarul Hisham tidak perlu menyoal balas Uuriintuya mengenai isu berkenaan dan juga menolak permohonan mereka supaya keterangan itu dipadamkan.
Sementara itu, satu lagi kejadian menimbulkan keriuhan di mahkamah apabila Uuriintuya enggan meninggalkan kandang saksi walaupun beliau telah dilepaskan daripada menjadi saksi.
Kandang saksi
Sebaliknya dia mengangkat tangannya dengan menyatakan dia ingin menyatakan sesuatu kepada mahkamah. Bagaimanapun, permintaannya dihentikan oleh Mohd Zaki yang memintanya turun dari kandang saksi.
Uuriintuya enggan meninggalkan kandang saksi dan bertegas hendak membuat satu kenyataan. Ekoran itu, Mohd Zaki kemudian bertanya kepadanya kenapa dan Uuriintuya berkata rekod kemasukan mereka ke Malaysia melalui Beijing juga tiada.
"Ia telah dipadamkan. Saya hairan kenapa rekod kemasukan kami ke Malaysia telah dipadamkan?" katanya.
Di peringkat itu, Mohd Zaki memberitahunya "kamu akhirnya telah dibenarkan meninggalkan Malaysia. Kenapa kamu masih nak mengadu."
Manoj kemudian bangun dan memberitahu mahkamah bahawa Uuriintuya bukan lagi saksi pendakwaan dan mahkamah itu bukan lagi forum yang sewajarnya untuk membuat kenyataan sambil menambah, Uuriintuya boleh mengemukakan aduannya menerusi forum lain.
Terdahulu, semasa menjawab pertanyaan daripada Manoj semasa pemeriksaan semula, Uuriintuya berkata apabila dia menerima ancaman daripada Balasubramaniam dan Suras Kumar, dia berasa takut dan hendak balik ke Mongolia.
Manoj: Apabila kamu memberitahu perkara ini kepada Altantuya, apa kata Altantuya kepada kamu?
Uuriintuya: Altantuya kata jika kamu berdua (Uuriintuya dan Namiraa) balik (ke Mongolia), dia tetap akan tinggal di sini.
Manoj: Bila kamu berbincang mengenai perkara ini?
Uuriintuya: Ia sebelum 19 Oktober tetapi saya tidak ingat tarikh yang tepat.
Manoj: Kenapa kamu tidak balik (ke Mongolia)?
Uuriintuya: Kerana kami bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku kepadanya (Altantuya) kerana Suras Kumar dan Balasubramaniam sentiasa mengekori kami.
Suras dibenar masuk
Kepada soalan lain oleh Manoj mengenai mengapa ketiga-tiga mereka (Altantuya, Namiraa dan Uuriintuya) membenarkan Suras Kumar memasuki bilik hotel mereka memandangkan dia telah mengugut mereka, Uuriintuya berkata "Altantuya yang membuka pintu setiap kali".
Manoj: Kamu tahu mengapa Altantuya berbuat demikian? Kenapa dia membenarkannya masuk?
Uuriintuya: Saya tidak tahu kenapa. Mereka selalu bercakap-cakap antara satu sama lain.
Manoj: Apabila Altantuya membenarkan Suras Kumar masuk beberapa kali, ada kamu bertanya Altantuya kenapa dia membenarkannya masuk?
Uuriintuya: Ya, saya ada bertanya kepadanya.
Manoj: Apa respons dia?
Uurintuya: Altantuya berkata dia percaya Suras Kumar adalah pengawal peribadi Abdul Razak. Saya boleh nampak Abdul Razak daripada gerak-geri Suras Kumar.
Kepada satu soalan lain daripada Manoj mengenai kenapa beliau tidak meninggalkan bilik hotelnya pada malam Suras Kumar datang dan tidur di bilik itu selama lima jam, Uuriintuya berkata: "Sepatutnya dia (Suras Kumar) pergi (dari bilik itu). Ia bilik kami tetapi dia tidak mahu pergi."
Manoj: Kamu juga tidak memanggil sesiapa untuk membantu seperti pengawal keselamatan hotel apabila Suras Kumar tidur di bilik kamu?
Uuriintuya: Ketiga-tiga kami tidak memanggil pihak pengawal keselamatan untuk mendapatkan bantuan. Jika kami pergi, saya bimbang sesuatu akan berlaku. Jadi ketiga-tiga kami cuba tidur bersama-sama. Jadi kami bertiga tidak mahu berpisah.
Manoj: Jadi ketiga-tiga kamu berdiri selama lima jam dalam bilik itu?
Uuriintuya: Ada dua kerusi dan satu meja dalam bilik itu. Jadi kami bergilir-gilir untuk duduk dan berdiri. Saya duduk kerana saya sedang hamil pada masa itu dan kami tidak tidur.
Manoj: Kamu meninggalkan bilik itu selepas Suras Kumar pergi?
Uuriintuya: Selepas beberapa ketika Suras Kumar pergi, kami keluar dan memberitahu pengurus (hotel).
Kepada soalan lain mengenai mengapa dia tidak membuat laporan polis mengenai gangguan dan ugutan yang dibuat oleh Suras Kumar itu, Uuriintuya berkata: "Sebabnya Altantuya memberitahu kami, jika kami membuat laporan polis, Razak Baginda adalah orang besar, jadi dia kenal ramai pegawai polis. Jadi tiada gunanya membuat laporan polis."
Bagaimanapun, beliau memberitahu mahkamah bahawa mereka (ketiga-tiga mereka) tiada pilihan lain melainkan membuat laporan polis pada 19 Oktober kerana "sudah tidak tahan lagi."
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.