Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M berjaya ketepikan saman fitnah Anwar
Diterbitkan:  Jul 4, 2007 1:22 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berjaya mengetepikan saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduhnya seorang homoseksual dalam persidangan yang dianjurkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Tengku Maimon Tuan Mat dalam keputusannya berkata saman Anwar terhadap Dr Mahathir itu tidak dapat diterima dan jelas satu penyalahgunaan proses mahkamah, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya dengan ini membuat kesimpulan bahawa tindakan plaintif (Anwar) tidak dapat diterima dan dengan itu, permohonan defendan (Dr Mahathir) diterima dengan kos," katanya.

Kedua-dua plaintif dan defendan (Anwar dan Dr Mahathir) tidak hadir di mahkamah.

Pada 5 Januari lalu, Dr Mahathir memohon untuk mengetepikan saman fitnah Anwar dengan mendakwa ia bersifat skandal, remeh atau menyusahkan.

Pada 26 Januari 2006, Anwar memfailkan saman fitnah itu terhadap Dr Mahathir dengan mendakwa kata-kata Dr Mahathir itu bersifat fitnah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata Dr Mahathir menyedari sepenuhnya bahawa sebahagian besar daripada kata-kata itu bertujuan memalukan beliau dalam kedudukan peribadi dan rasminya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan dan ia akan disiarkan dalam media tempatan serta asing.

Selain gantirugi am dan teladan, Anwar turut memohon perintah bagi menghalang Dr Mahathir atau ejennya daripada menuturkan atau menerbitkan kata-kata seperti itu di masa depan.

Dr Mahathir, dalam pernyataan pembelaannya, berkata beliau bergantung kepada hak keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri ketika membuat kenyataan itu.

'Kepentingan awam'

Katanya beliau mengucapkan kata-kata itu di persidangan yang dianjurkan oleh Suhakam di mana hak keistimeaan itu terpakai seperti yang dinyatakan dalam Akta Fitnah 1957.

Dr Mahathir juga berkata, kata-katanya pada 9 September 2005 itu dibuat atas kepentingan awam dan menjadi tanggungjawab moral beliau untuk memaklumkan mengenai salahlaku Anwar.

Tengku Maimon dalam penghakimannya setebal lima muka surat berkata, kata-kata yang diadukan oleh Anwar dalam tindakannya itu adalah sebagai respons kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh para wartawan kepada Dr Mahathir di persidangan yang dianjurkan oleh Suhakam dan adalah serupa dengan kata-kata yang diadukan dalam tindakan saman fitnah pada

1999, di mana Anwar mengadu mengenai satu dakwaan bahawa beliau seorang homoseksual.

Tengku Maimon berkata, sama seperti tindakan dalam saman fitnah pada 1999 itu, Dr Mahathir dalam kes ini mengemukakan pembelaan sebagai mempunyai justifikasi dan hak keistimewaan.

Tengku Maimon berkata, tindakan saman fitnah pada 1999 itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dengan alasan tindakan Anwar itu tidak dapat diterima setelah mempertimbangkan sabitan terhadap adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan bekas penulis ucapan Anwar, Munawar Anees dan pembelaan sebagai mempunyai justifikasi dan hak keistimewaan.

"Rayuan plaintif (Anwar) kepada Mahkamah Rayuan juga ditolak. Permohonan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu juga ditolak. Setelah mempertimbangkan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes saman fitnah pada 1999 itu, pembelaan daripada segi mempunyai justifikasi dan hak keistimewaan yang serupa, dapat digunakan oleh defendan (Tun Mahathir)

dalam kes ini," katanya.

Tengku Maimon berkata, walaupun sabitan terhadap Sukma telahpun diketepikan sejak itu, masih terdapat satu penemuan kehakiman di mana Anwar sebenarnya telah mengambil bahagian dalam perlakuan homoseksual.

Tengku Maimon berkata, penemuan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana Anwar telah disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar dan sabitan itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, dan walaupun rayuan Anwar telah dibenarkan dengan majoriti oleh Mahkamah Persekutuan.

Akan merayu

"Dengan fakta-fakta latar belakang kes dan semua penghakiman yang dirujuk seperti di atas, adalah jelas bahawa pihak pembelaan akan berjaya. Tiada gunanya untuk mendesak supaya pembelaan dibuktikan pada satu perbicaraan penuh," kata Tengku Maimon.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, S N Nair, seorang daripada peguam yang mewakili Anwar berkata keputusan hari ini amat mengecewakan kerana tindakan saman itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di peringkat permulaan.

"Ia satu keputusan yang tidak dijangka. Dalam sesuatu saman fitnah, satu-satunya cara untuk mengetahui kebenaran ialah pada perbicaraan penuh. Sekurang-kurangnya mahkamah perlu memberikan Anwar perbicaraan penuh," katanya.

Bagaimanapun, Nair berkata beliau akan memfailkan satu notis rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

"Kami berharap akan mendapat keadilan di Mahkamah Rayuan dan ia akan membatalkan keputusan hari ini," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk V.K.Lingam yang mewakili Dr Mahathir memberitahu pemberita bahawa hakim telah membuat keputusan yang tepat dan beliau akan memberitahu pelanggannya (Dr Mahathir) mengenai keputusan itu.

ADS