Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada orang perlu letak jawatan di UM, kata Maszlee
Diterbitkan:  Apr 25, 2024 3:05 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Maszlee Malik menggesa individu yang bertanggungjawab membolehkan ahli akademik dari AS menghina negara ini dalam ucapannya meletakkan jawatan dari Universiti Malaya (UM) secara terhormat.

Menurut bekas menteri pendidikan itu langkah tersebut adalah sebagai langkah mengambil tanggungjawab daripada kekecohan tersebut.

“Bagaimana mungkin seorang pro-Zionis dan yang secara terbuka mengutuk Malaysia dengan fitnah boleh dijemput ke universiti kita yang paling berprestij?

“VC (naib canselor) sepatutnya seorang yang budiman, sila buat permohonan maaf secara terbuka, dan seseorang perlu meletakkan jawatan dengan terhormat,” katanya dalam ciapan di laman X hari ini.

Maslzee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata demikian sebagai mengulas insiden seorang pensyarah sains politik berpangkalan di AS, Bruce Gilley mengecam sikap diambil ahli politik negara ini dalam isu konflik di Palestin.

Memetik pendirian salah seorang anggota kabinet, Mohamad Sabu, Gilley menganggap langkah tersebut sebagai menyokong holocaust kedua dengan mengaitkannya dengan kecaman ke atas Israel dan Zionis.

Bruce Gilley

Insiden itu mengundang reaksi keras daripada kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pengajian Tinggi mengarahkan semua program Gilley di negara ini dibatalkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir pula mengarahkan UM membuat siasatan dan memberikan laporan lanjut dengan segera berhubung isu berkenaan.

Gilley dipercayai sudah meninggalkan negara ini.

Melampau, menyeleweng

Terdahulu UM tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan insiden tersebut.

Melalui rajutan di X itu, Maszlee juga mendakwa Gilley merupakan profesor pelawat di UM.

“Rupa-rupanya dia adalah ‘profesor pelawat’ di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik UM!

“Seseorang ada masalah besar sekarang!” ciapnya.

Sementara itu Pemuda PKR (AMK) turut mendesak UM melaksanakan siasatan mendalam terkait bagaimana Gilley dibenarkan menyampaikan syarahannya di universiti itu.

Kata sayap PKR itu, ada pihak yang perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana tidak melaksanakan semakan latar belakang terhadap pendukung genosid.

“Kenyataan Gilley di laman X yang menyifatkan Malaysia sebagai pendukung Holocaust juga melampau dan menyeleweng.

"Perjuangan Malaysia selama ini adalah bagi pembebasan Palestin seperti yang dibawa oleh perdana menteri di persada dunia.

“Dalam kita menghormati ruang universiti sebagai wadah wacana awam, ia terhad kepada perkara yang boleh diwacanakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah AMK, isu kekejaman dan penghapusan etnik Palestin bukanlah suatu wacana tetapi hal yang jelas merupakan kekejaman rejim Zionis.

“AMK menghargai tindakan UM yang membatalkan terus sesi syarahan lanjut Gilley,” katanya.

Lihat Komen
ADS