Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengundi India, Orang Asli penentu kemenangan di KKB - Bersatu
Diterbitkan:  Apr 25, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Bersatu menganggap undi dari kalangan kaum India dan Orang Asli akan menentukan “kemenangan” Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Tanpa memperincikan, ketua penerangannya Razali Idris mendakwa kerajaan sering meminggirkan keperluan dan kebajikan kumpulan berkenaan.

"Kira-kira 6,280 pengundi India dan Orang Asli adalah penentu sebenar kemenangan PN.

"Sehingga kini, kerajaan perpaduan sering meminggirkan harapan kaum India dan Orang Asli seperti hal pekerjaan, pendidikan, kos barangan, kebajikan dan masa depan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razali Idris

Justeru, dia meyakini bahawa dua kumpulan pengundi ini terutama pengundi India akan memilih PN yang menurutnya lebih tegas memperjuangkan hak rakyat.

"PN semakin diyakini pengundi India dan Orang Asli, lebih-lebih lagi pengundi India yang mengharapkan parti MIC (tetapi) sudah tidak ada makna.

"Sekarang tiba masanya untuk (mereka) menyokong PN kerana bersuara tegas dan lantang demi rakyat," kata Adun Kijal itu.

Sementara itu, dia berkata peningkatan undian sebanyak 30.85 peratus oleh PN pada pilihan raya negeri (PRN) dan kemenangan mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) berdekatan akan mencerahkan peluang PN.

"Saya yakin pengundi Melayu terutamanya pengundi Umno akan mengundi calon PN pada PRK nanti," katanya lagi.

Bayangkan calon Melayu

Mengulas lanjut kepada Malaysiakini, dia mendakwa tindakan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon Cina seolah-olah 'mempermainkan' perasaan pengundi.

"Awalnya kita ada kegusaran ketika mendengar ura-ura PH akan letak calon Melayu, jadi ia seolah-olah mempermainkan pengundi Melayu terutama pengundi Umno apabila meletak calon berbangsa Cina.

"Saya rasa percaturan PH salah di situ, pemimpin Umno saja nampak bersungguh-sungguh tapi saya tak nampak di bawah (akar umbi) begitu," katanya lagi.

DUN Kuala Kubu Bharu merupakan kawasan campuran dengan pengundi Melayu mewakili 46 peratus berbanding Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (enam peratus).

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menamakan pembantu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Pang Sock Tao sebagai calon DAP - mewakili parti kerajaan di Kuala Kubu Bharu.

Pang, 31, berasal dari Ampang, Selangor dan pernah bertugas sebagai penerbit Ubah TV, saluran video milik DAP.

Sementara itu, menjelang pengumuman calon PN malam ini, Razali berpandangan calon Melayu lebih berpeluang untuk menang jika diletakkan di kerusi tersebut.

"Kalau saya, saya bersetuju dengan calon Melayu sebab saya nampak ruang untuk menang itu lebih besar," tambahnya.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat barah.

Lihat Komen
ADS