Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua bahagian Bersatu calon PN di Kuala Kubu Bharu

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional bagi PRK Kuala Kubu Bharu.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon yang diadakan di Bandar Utama Batang Kali di Kuala Kubu Bharu awal malam ini.

Muhyiddin berkata keputusan untuk memilih Khairul yang merupakan anak Felda Sungai Tengi dibuat pada mesyuarat majlis tertinggi PN beberapa hari lepas.

“Dengan ini saya umumkan keputusan majlis tertinggi PN calon yang bertanding di KKB adalah Khairul Azhari Saut.

“Kalau kamu nak anak tempatan inilah anak tempatan,” katanya sebentar tadi.

Khairul yang merupakan anak Felda akan berdepan Pang Sock Tao dari PH, yang merupakan pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Selain PN dan PH, Muda dan PSM juga menyatakan minat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu tetapi masih belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon atau sebaliknya.

Khairul Azhari mengambil alih kepimpinan Bersatu bahagian Kuala Kubu Bharu selepas ketuanya Md Anuar Mohd Nor keluar parti ketika pilihan raya negeri Selangor tahun lepas.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi bahawa Gerakan akan menampilkan calonnya mewakili PN.

Ini selepas Presiden Gerakan Dominic Lau minggu lalu berkata parti itu akan bertanding dalam PRK berkenaan.

Gerakan dikatakan berhasrat meletakkan Muniraa Abu Bakar, yang tewas dalam pertandingan di kerusi DUN Bukit Lanjan kepada calon PH pada pilihan raya negeri tahun lepas.

Kuala Kubu Bharu merupakan kawasan pilihan raya campuran, dengan 46 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, 30 peratus pengundi Cina, 18 peratus pengundi India, dan enam peratus lain-lain kaum.

PRK yang dijadualkan pada 11 Mei ini diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong (PH/DAP), yang menyandang kerusi itu sejak 2013.

Lihat Komen
ADS