Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shukri harap PN terus diyakini terajui kerajaan Perlis
Diterbitkan:  Apr 27, 2024 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

PAS hari ini berharap parti itu - bersama PN - terus mendapat kepercayaan mentadbir Perlis bagi memastikan pelbagai rancangan yang diatur dapat dilaksanakan.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata ada banyak perancangan diatur kerajaan negeri dan perlukan masa untuk direalisasikan.

“Kami berharap dan berdoa agar kami dapat mengekalkan kemenangan di Perlis supaya semua perancangan kami dapat direalisasikan.

“Dengan sokongan yang diterima, PN berharap dapat terus menjalankan tanggungjawab untuk kesejahteraan dan kemajuan Perlis,” katanya dipetik harakahdaily hari ini.

Kenyataan itu dibuat tidak sampai satu setengah tahun selepas PN membentuk kerajaan negeri.

Perlis mengadakan pilihan raya negeri bersekali dengan PRU kawasan parlimen pada 19 Nov 2022.

PN memenangi 14 daripada 15 kerusi dalam dewan undangan negeri di situ. Baki satu kerusi, Indera Kayangan, dimenangi calon PKR-PH, Gan Ay Ling.

Mohd Shukri Ramli yang merupakan Adun Sanglang mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 22 Nov 2022.

Dipetik berucap sempena sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kangar hari ini, Mohd Shukri juga menjelaskan program yang dianjurkan kerajaan negeri.

Misalnya, kata Mohd Shukri, kempen Jom Solat yang menunjukkan kesan memberangsangkan apabila berlaku peningkatan ketara dalam jumlah jemaah di masjid pada waktu Subuh.

Sebelum ini, Mohd Shukri mengakui wujud kelemahan dalam pentadbiran negeri apabila mengatakan dirinya mudah mempercayai orang lain.

Dia berkata demikian selepas anak lelakinya bersama empat individu lain ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dalam kes tuntutan palsu.

Menurut sumber, kes tersebut terkait kegiatan memalsukan dokumen dan tuntutan palsu melibatkan dana bernilai RM600,000.

Namun, dia sudah menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Lihat Komen
ADS