Hina lagu Negaraku: K'jaan digesa ambil tindakan tegas

       

Pemuda Umno Johor menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap seorang Malaysia di Taiwan yang dikatakan menghina lagu Negaraku.

Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebahagian anak muda Malaysia mula diresapi dengan doktrin luar yang mempunyai agenda tertentu di negara ini.

Beliau mendakwa, ada pihak tertentu dari luar negara yang menggunakan anak muda tempatan yang sanggup dipergunakan, seolah-olah mahu menjadi hero atau menjadi pejuang kebebasan.

"Agenda halus ini disemaikan dalam dada anak muda tanpa disedari kononnya atas nama kebebasan tetapi sebenarya untuk menjejaskan masa depan negara.

"Tindakan sedemikian rupa adalah salah pelakuan yang hina, lebih lagi apabila rakyat negara ini sendiri sanggup melakuknay.

"Mereka juga tahu perbuatan menggunakan teknologi Internet tidak boleh dihalang tetapi masyarakat dan pihak berkuasa tidak boleh membiarkannya," kata Razali yang juga Ahli Parlimen Muar ketika dihubungi semalam.

Laporan polis

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aksi pelajar Malaysia yang dikenali sebagai "Namewee" dalam sebuah video klip yang menggunakan bahasa kasar serta lucah semasa menyanyikan Negaraku yang diselitkan dengan nyanyian rap dalam bahasa Mandarin.

Lebih teruk lagi, lagu Negaraku turut diberikan dengan nama baru iaitu "Negarakuku" dalam video klip yang disiarkan selama lima minit 32 saat di sebuah lamanweb sejak pertengahan bulan lalu.

Pelajar berusia 24 tahun itu, yang dikatakan sedang mengikuti jurusan Komunikasi Massa di Universiti Ming Chuan, Taiwan turut memperlekehkan umat Islam serta menyindir anggota polis serta kakitangan kerajaan.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, pelajar berkenaan perlu memohon maaf secara terbuka kerana tidak boleh menganggap perbuatannya itu sebagai jenaka kerana ia memberi kesan yang boleh memecah-belahkan masyarakat di negara ini.

Katanya, beliau juga telah memberi maklumat mengenai perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan menunggu perkembangannya untuk menentukan tindakan undang-undang terhadap pelajar terbabit.

Rais berkata, jika pelajar itu tidak menunjukkan penyesalan dan memohon maaf atas perbuatannya, kementeriannya akan membuat laporan polis selepas 31 Ogos depan.

Malaysiakini
terkini untuk anda