Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo digesa memberi penjelasan segera terhadap beberapa isu penting yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kerajaan Negeri Selangor dan agensi-agensinya.

Ketika membuat gesaan tersebut, Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San berkata, laporan berkenaan mendedahkan berlaku penyelewengan dalam kerajaan negeri, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, yang sekaligus mencerminkan keadaan urustadbir di Selangor, yang menurut Dr Mohd Khir, sebuah 'negeri maju'.

Menurut Lau, laporan tersebut membangkitkan empat projek utama, iaitu:

Projek pembangunan kawasan Orang Asli di Kampung Air Kuning, Bukit Cerakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling.

Projek pembinaan jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam,

Peralatan perpustakaan di kutub-khanah di bawah Lembaga Perpustakaan Awam Selangor.

Pembinaan dan pengurusan infrastruktur taman laut di bawah Majlis Daerah Sabah Bernam.

Menurut Lau, di bawah projek pertama, kerajaan negeri terlah bersetuju melulus dan memindahkan 273 ekar tanah kerajaan di Kampung Air Kuning, Bukit Cerakah kepada sebuah syarikat pemaju. Sebagai gantinya, pemaju dikehendaki memulangkan RM18.23 juta kepada masyarkat Orang Asli di Kampung Air Kuning dalam bentuk113 unit kediaman, dua unit rumah kedai/pejabat dan kedai serbaguna.

Di samping itu, katanya, RM6.95 juga akan diagihkan dalam bentuk pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera, pampasan kepada penduduk dan pendidikan, manakala kerajaan negeri pula akan memperolehi 160 unit flat kos rendah berharga RMRM14.4 juta.

'Langgar kontrak'

Pelaksanaan projek itu, kata Lau, tidak sesuai kerana terdapat beberapa syarat dalam kontraknya yang tidak dipatuhi, menyebabkan masyarakat Orang Asli dan kerajaan negeri hanya menerima 24.3 peratus daripada apa yang dijanjikan, tetapi tiada sebarang tindakan diambil terhadap pemaju yang melanggar kontrak tersebut.

Projek kedua, kata Lau, ialah pembinaan sebatang jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam dan ianya dibahagikan kepada dua projek - Projek Jalan Cross Ban 4 (dari Sekinchan ke Kampung Parit 4, Sungai Haji Dorani) dan Projek Jalan B44 (dari Kampung Parit, Sungai Haji Dorani ke Ulu Bernam), yang masing-masing sepanjang 20.5km dan 9.4km.

"Kos asal projek Jalan Cross Ban 4 ialah RM92.5 juta dan kos akhirnya ialah RM118.3 juta selepas arahan variasi sebanyak RM25.8 juta - bermakna kerajaan telah membelanjakan purata RM5.8 juta untuk membina setiap kilometer jalan tersebut," katanya.

Menurutnya, laporan Ketua Audit Nega itu juga menyebut bahawa pemberian kontrak-kontrak tersebut tidak dibuat di bawah sistem tender terbuka tetapi melalui rundingan langsung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas mendapat kelulusan dari pegawai kewangan negeri tanpa dimaklumkan kepada Lembaga Perolehan Negeri.

Lau berkata, rundingan terus hanya boleh diadakan apabila nilai projek adalah dibawah RM200,000 dan mestilah projek yang amat diperlukan - tidak sepertimana dengan dua kes berkenaan.

Katanya, selepas Ketua Audit membuat semakan, ia memberi kos alternatif bagi kedua-dua projek tersebut yang lebih rendah daripada harga yang ditawarkan oleh JKR.

Harga alternatif

Bagi projek Jalan Cross Ban - anggaran juruperunding adalah RM67.12 juta; anggaran JKR (RM93 juta); tawaran kontraktor (RM110.76 juta); harga ditawarkan RM92.5 juta.

Bagi projek Jalan B44 pula - anggaran juruperunding adalah RM28.17 juta; anggaran JKR (RM33 juta); tawaran kontraktor RM41.03 juta) dan harga tawaran RM32.5 juta.

"Mengenai projek ketiga, kami kesal kerana sebahagian besar peralatan IT di perpustakaan awam negeri, semuanya dalam keadaan teruk apabila tidak ada sambungan internet dan kebanyakan peralatan IT tidak berfungsi," katanya.

Bagi projek keempat, kata Lau, Ketua Audit mendedahkan bahawa kontraktor yang melaksanakan projek taman laut yang bernilai RM10 juta itu, telah mendapat 'bonus' RM19.98 juta.

"Lima tahun lalu, setiausaha kerajaan negeri menghantar surat kepada presiden Majlis Daerah Sabah Bernam, meluluskan projek bernilai RM10 juta itu dari dana khas kerajaan negeri," kata Lau.

Bagaimanapun, katanya, Ketua Audit mendapati surat tawaran yang dikeluarkan itu mengandungi angka RM29.98 juta dan bukannya RM10 juta.