Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu mudah mendapatkan maklumat terkini mengenai sesuatu kejadian kerana ia mempunyai ahli dan penyokong di semua agensi kerajaan, termasuk di kalangan anggota dan pegawai di Bukit Aman serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Oleh kerana itulah, bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, PAS telah mengetahui lebih awal mengenai perancangan kejadian rusuhan di Pantai Baru Buruk dan Jalan Sultan Mahmud, selepas dimaklumkan oleh 'orang-orangnya' yang bertugas dengan pasukan keselamatan.

"Kita telah mendapat maklumat lebih awal bahawa akan berlaku provokasi awam di tempat ceramah anjuran Bersih di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud itu pada malam 8 September itu.

"PAS juga tahu siapakah yang campurtangan supaya polis tidak mengeluarkan permit untuk mengadakan ceramah tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rusila, Marang, minggu lalu.

Haji Hadi memberitahu malaysiakini demikian ketika diminta mengulas kejadian rusuhan tersebut setelah polis tidak mengeluarkan permit program untuk mengadakan ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya - Bersih yang merupakan gabungan badan bukan kerajaan dan parti pembangkang.

Tujuh orang tercedera dalam insiden tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.

Presiden PAS itu berkata, kakitangan kerajaan termasuk anggota polis yang menyokong PAS telah dinasihatkan menjalankan tugas dengan betul dan tidak terlibat dengan rasuah.

Ada maruah

Bagaimanapun, Abdul Hadi memberi jaminan, PAS tidak akan bertindak di luar undang-undang walaupun penyokong dan ahli parti itu menjadi mangsa tindakan polis.

Katanya, ahli PAS tidak boleh ditundukkan dengan kekerasan, termasuk peluru, kerana mereka juga ada maruah.

"Saya juga ingin menasihatkan pihak polis supaya tidak hanya memilih ahli PAS sebagai sasaran kerana ia boleh menimbulkan kemarahan mereka.

"Selagi jalan demokrasi ada, PAS akan terus mengikut landasan demokrasi walaupun Umno mahu mematikan demokrasi kerana parti itu mahu terus berkuasa," katanya.

Di samping itu kata Abdul Hadi, tidak sepatutnya wujud pertentangan antara PAS dengan pihak polis memandangkan hubungan antara kedua belah pihak adalah baik.

PAS Terengganu, katanya, pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakub dalam suasana yang mesra.

Bagi menjernihkan hubungan antara kedua-dua pihak, Abdul Hadi berkata, PAS sanggup bertemu dan mengadakan perbincangan dengan pasukan polis.

"Tetapi polis perlu menjalankan tugas dengan profesional dan jangan dipengaruhi oleh emosi politik," katanya.