Satu klip video didedahkan hari ini yang menunjukkan seorang peguam kanan Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang dikatakan untuk menentukan pelantikan hakim-hakim kanan "yang sehaluan".

Klip video selama lapan minit itu, yang dikatakan asalnya 14 minit bila dirakamkan pada tahun 2002, didedahkan pagi tadi oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

Antara perkara yang dibicarakan dalam perbualan telefon tersebut ialah pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaysia (CJM) dan mengenai pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara (CJ), yang akhirnya menjadi kenyataan pada tahun 2003.

Pada tahun 2002, Ahmad Fairuz merupakan Hakim Besar Malaya, yang menjaga semua hakim Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia, serta menjadi pemangku Presiden Mahkamah Rayuan (PCA).

Ketika membaca kenyataannya, Anwar berkata, pendedahan tersebut membuktikan bahawa rayuannya terhadap sabitan tuduhan liwat dan salahguna kuasa terhadapnya, telah tercemar dan beliau telah dinafikan perbicaraan yang sempurna dan adil.

"Skandal video ini mengukuhkan dakwaan kami mengenai konspirasi politik yang melibatkan pemimpin tertinggi negara dan korupsi oleh ketua badan kehakiman. Ini membangkitkan isu mengenai hilangnya kesaksamaan perbicaraan mahkamah di negara ini," kata Anwar.

PKR akan mengemukakan satu rayuan khas kepada Majlis Raja-Raja supaya mengambil tindakan sewajarnya. Parti itu juga akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah dan aduan kepada Majlis Peguam.

Ahmad Fairuz adalah seorang daripada tiga penal hakim yang menolak rayuan Anwar terhadap tuduhan salahguna kuasa di Mahkamah Rayuan pada tahun 2000.

'Demi untuk negara'

Anwar tidak mendedahkan identiti individu yang merakamkan video tersebut atau siapakah yang menyerahkan klip video itu kepada PKR, tetapi berkata ia telah disunting untuk melindungi identiti 'pihak ketiga'.

Rakaman tersebut menunjukkan Lingam berlegar-legar dalam sebuah bilik, sambil berbual melalui telefon.

Kesimpulan daripada perbualan tersebut ialah "pemain-pemain utama" perlu dicalonkan dalam pelantikan hakim supaya dapat mendengar kes-kes dan memberi penghakiman seperti yang dikehendaki.

Pada satu ketika sewaktu perbualan tersebut - dipercayai dengan Ahmad Fairuz dalam kontek perbualan tersebut - nampak wujud dua puak dalam badan kehakiman yang sehaluan dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin dan dengan penggantinya, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah.

Dalam perbualan tersebut, Lingam berkata, Dzaiddin mahu melantik enam hakim Mahkamah Rayuan supaya orang-orangnya mendapat tempat sebelum beliau bersara.

Kemudian dalam perbualan tersebut, Lingam sekali lagi menyentuh perkara itu, dengan berkata, beliau tahu banyak yang telah dilakukan oleh Ahmad Fairuz untuk Eusoff Chin dan memetik Eusoff sebagai berkata ketaatan Ahmad Fairuz adalah 110 peratus.

Katanya, mereka mahu memastikan bahawa 'rakan-rakan' mereka mendapat tempat demi untuk (bekas) Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan demi untuk negara, dan bukannya untuk kepentingan mereka sendiri.

'Peranan penting'

Lingam sendiri terbabit dalam kontroversi selepas tersebar gambarnya bersama Eusoff ketika bercuti bersama di New Zealand pada 1994. Bagaimanapun, Eusoff menafikan melakukan sebarang salahlaku.

Pada satu ketika dalam perbualan tersebut, Lingam juga membayangkan bahawa usaha-usaha sebelumnya untuk melantik hakim-hakim yang sehaluan dengan Eusoff telah 'disabotaj' oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Lingam kemudiannya mendedahkan bahawa ada pihak yang sedang meganjurkan kempen untuk menjatuhkan Ahmad Fairuz dan menasihatkan beliau supaya hanya berdiam diri.

Turut dikaitkan dalam perbualan tersebut ialah jutawan Tan Sri Vincent Tan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Lingam, Tan dan Tengku Adnan memainkan peranan penting dalam pelantikan hakim-hakim serta penganugerahan darjah 'Tan Sri' kepada Ahmad Fairuz.

Lingam juga berkata bahawa beliau juga akan meminta Tan supaya mengingatkan Perdana Menteri untuk menganugerahkan darjah 'Tan Sri' tahun itu juga bagi meningkatkan kedudukan Ahmad Fairuz.

Di akhir perbualan tersebut, Lingam mengakui bahawa telah banyak yang telah dilakukan oleh Ahmad Fairuz, termasuk dalam kes pilihanraya yang membabitkan calon DAP, Wee Choo Keong.

Ekoran pilihanraya umum 1995, Ahmad Fairuz telah menyokong petisyen mencabar kemenangan calon DAP itu sebagai Ahli Parlimen Bukit Bintang. Keputusan tersebut menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Dr Lee Chong Meng diisytiharkan sebagai pemenangnya.

Lingam tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya. Pejabatnya berkata, beliau kini berada di luar negeri dan hanya dijadualkan pulang lewat bulan ini.

Ketika dihubungi petang tadi, pembantu peribadi kepada Ketua Hakim Negara, telah menyampai mesej bahawa beliau mahu menyaksikan klip video itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan. Bagaimanapun, selepas itu, panggilan telefon ke pejabatnya tidak berjawab sehingga jam 5 petang.

Saksi klip video