20,000 pekerja PBT akan hilang pekerjaan
Kira-kira 20,000 pekerja rendah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akan kehilangan pekerjaan apabila penswastaan sistem pelupusan pepejal dilaksanakan.
Kira-kira 20,000 pekerja rendah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akan kehilangan pekerjaan apabila penswastaan sistem pelupusan pepejal dilaksanakan.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, angka tersebut berdasarkan surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dihantar kepada kongres tersebut baru-baru ini.
Katanya, apabila sistem pelupusan pepejal tersebut dilaksanakan, kira-kira 20,000 pekerja PBT akan diberi pilihan untuk bersara awal.
"Surat tersebut bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci kandungan penswastaan tersebut termasuk syarikat yang mengendalikannya," katanya kepada malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Berikutan itu, kata Omar, pihaknya telah menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada 10 September lalu, menggesa supaya cadangan tersebut ditangguhkan sehingga perbincangan diadakan.
Cuepacs, katanya, meminta pelaksanaan penswastaan tersebut ditangguhkan sehingga satu perbincangan dengan Perdana Menteri diadakan.
"Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (Anulae) telah meminta kami memperjuangan isu berkenaan untuk kepentingan 40,000 ahli mereka di seluruh negara," katanya.
Mahu jumpa PM
Omar berkata, baru-baru ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memberi taklimat kepada ketua-ketua jabatan kerajaan mengenai cadangan penswastaan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, Cuepacs dan Anulae tidak mengetahui kandungannya kerana tidak dipanggil menghadiri taklimat tersebut.
"Oleh kerana itu, kita tidak mahu menemui Datuk Seri Ong Ka Ting (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) berhubung isu ini tetapi sebaliknya mahu berunding terus dengan Perdana Menteri," katanya.
Omar berkata, pihaknya memberi masa sehingga 30 November ini kepada Perdana Menteri untuk menjawab permintaan tersebut.
Katanya, jika tiada sebarang jawapan, Cuepacs akan berunding di kalangan ahli gabungan bagi membincangkan tindakan lanjut.
"Tidak perlu diswastakan sebaliknya peruntukan diberikan kepada PBT untuk membolehkan mereka menguruskan pelupusan sistem pepejal dengan sempurna," katanya.
Cuepacs mewakili 1.2 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara.

