Transparency-International Malaysia (TI-M) menyokong desakan Majlis Peguam supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video yang menunjukkan peguam kanan Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Dalam satu kenyataan, Presiden TI-M, Tan sri Dr Ramon Navaratnam berkata, pendedahan klip video tersebut telah mencetuskan persoalan mengenai kebebasan badan kehakiman dan memerlukan penjelasan dan akauntabiliti kepada rakyat Malaysia.

"Integriti, akauntabiliti dan ketelusan kerajaan dan badan kehakiman akan terdedah kepada spekulasi dan menghakis keyakinan rakyat sekiranya pendedahan klip video itu tidak diambil serius dan diberi keutamaan sewajarnya," kata Ramon.

"Pendapat umum di dalam dan luar negara akan terjejas sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk memelihara integriti, akauntibiliti dan ketelusan sistem kehakiman kita," tambahnya.

"Pelaburan asing dan domestik juga boleh terjejas sekiranya keadilan dilihat tidak dijalankan. Semua ini boleh mengurangkan prospek kita untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi, pengagihan pendapatan yang lebih baik dan memacu kemajuan negara, terutama ketika kelembapan ekonomi dunia sekarang," katanya.

'Perlu penjelasan'

Menurut Ramon, penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video tersebut adalah selaras dengan gesaan berulangkali oleh Perdana Menteri mengenai ketelusan dan urustadbir yang baik.

Ramon juga menggesa kerajaan supaya menerimapakai syor-syor untuk memelihara kebebasan dan akauntabiliti badan kehakiman, yang terkandung dalam Laporan Rasuah Global Mengenai Sistem Kehakiman yang dikeluarkan oleh TI pada awal tahun 2007.

Antaranya, kata beliau, laporan tersebut mengesyorkan supaya pelantikan dan pemecatan hakim bebas daripada campurtangan badan eksekutif dan legislatif.

Klip video itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia menunjukkan peguam kanan, Datuk VK Lingam sedang bercakap melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Perbualan tersebut adalah mengenai usaha menentukan pelantikan rakan-rakan kanan 'yang sehaluan'.

Klip video itu yang dikatakan dirakam pada tahun 2002, turut mendedahkan perbincangan mengenai pelantikan Ahmad Fairuz sebagai ketua hakim negara, yang menjadi menjadi kenyataan pada tahun 2003.

Di samping klip video tersebut, Anwar juga mendedah rakaman audio di mana namanya turut disebut.