Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata nama Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah disebut dengan jelas dalam bahagian kedua klip video 'mengatur pelantikan hakim' yang akan didedahkan 'bila tiba masanya'.
Walaupun beliau tidak menjelaskan dalam kontek apa nama Ahmad Fairuz disebut dalam bahagian kedua klip video tersebut, tetapi beliau menegaskan bahawa pendedahan itu akan mengesahkan bahawa orang yang bercakap dalam perbualan telefon itu adalah Ketua Hakim Negara.
Bercakap dalam satu forum di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, Anwar berkata, beberapa orang lagi personaliti turut ditunjukkan dalam bahagian kedua klip video tersebut.
Dalam bahagian kedua klip video itu, tambah Anwar, nama Ahmad Fairuz telah disebut oleh peguam Datuk VK Lingam (peguam yang berbual melalui telefon dalam klip video berkenaan).
Anwar juga menegaskan bahawa adalah tidak tepat untuk menyifatkan klip video selama lapan minit - daripada 14 minit yang didedahkannya sebelum ini - sebagai versi yang telah disunting, sebaliknya ia hanya diasingkan kepada dua bahagian untuk melindungi identiti sumbernya.
Ditanya kemudianya, mantan timbalan perdana menteri itu berkata, baki klip video itu akan didedahkan 'bila tiba masanya'.
EGM Majlis Peguam
Klip video yang didedahkan oleh Anwar pada 19 September lalu, menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon mengenai pelantikan hakim, didakwa dengan Ahmad Fairuz, yang merupakan Hakim Besar Malaya sewaktu rakaman itu dibuat pada 2002.
Pendedahan klip video itu telah mencetuskan desakan oleh pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam Malaysia, supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Berikutan itu, kerajaan telah mengumumkan penubuhan sebuah panel bebas tiga anggota untuk menentukan kesahihan kilp video tersebut.
Menurut Anwar lagi, sumber klip video tersebut 'bersedia' untuk tampil ke hadapan jika diberi imuniti dan perlindungan secukupnya melalui penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat perkara tersebut
Sementara itu, seorang lagi panelis di forum tersebut, Setiausaha Majlis Peguam, Lim Chee Wee ditanya oleh hadirin mengenai keputusan majlis itu untuk menangguhkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadual diadakan Sabtu depan untuk membincang isu berkenaan.
Kita mungkin menimbangnya semula (keputusan menangguhkan EGM) memandangkan bidangkuasa panel bebas yang terhad, kita tunggu dan lihat. EGM tidak dibatalkan tetapi hanya ditangguhkan," katanya.
Antara mereka yang bercakap sewaktu sesi soal-jawab kemudiannya adalah peguam Wee Choo Keong - di mana namanya turut dibangkitkan oleh Lingam dalam klip video tersebut. Berita asal |