Mengapa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar enggan menarik diri daripada menjadi pengerusi tribunal yang memecat bosnya, Tun Salleh Abas, sewaktu krisis kehakiman pada 1988?

Bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Param Cumaraswamy mendedahkan jawapannya di sebuah forum di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Pada 1988, Salleh, bekas Ketua Hakim Negara, didapati bersalah atas tuduhan salahlaku oleh sebuah tribunal khas yang dipengerusikan oleh Hamid. Pada masa ini, Hamid merupakan pemangku jawatan Ketua Hakim Negara.

Bantahan kuat, terutama oleh Majlis Peguam, disuarakan ketika itu berhubung peranan Hamid dalam tribunal khas tersebut.

Dalam majlis forum Sabtu lalu, yang dihadiri oleh kira-kira 250 orang, Param mendedahkan apa yang berlaku dalam pertemuan delegasi Majlis Peguam yang diketuainya, dengan Hamid.

Katanya, delegasi tersebut menemui Hamid untuk menasihatkan beliau supaya jangan menerima jawatan pengerusi tribunal khas itu memandangkan beliau merupakan calon bagi jawatan Ketua Hakim Negara.

Bagaimanapun, kata Param, Hamid menjawab, jika tidak menerimanya, beliau akan dipecat.

Katanya, Hamid juga memberitahunya "Param, jika kamu mahu, kamu boleh menemui dan menasihatkan Yang di-Petuan Agong".

Param, yang pernah menjadi pelapor khas PBB mengenai kebebasan hakim dan peguam, sebaliknya memberitahu Hamid bahawa beliau (Hamid) dalam kedudukan terbaik untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, perbualan dengan Hamid itu tidak pernah didedahkan sehinggalah sekarang.

Hakim dipecat

Param juga menjelaskan bahawa Presiden Majlis Peguam ketika itu, Datuk Raja Aziz Addruse, tidak dapat turut serta dalam delegasi tersebut kerana beliau mewakili Salleh di tribunal khas berkenaan.

Pemecatan Salleh pada tahun 1988 telah dianggapkan saat paling gelap dalam sejarah kehakiman Malaysia.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menubuhkan sebuah tribunal khas untuk membicarakan Salleh terhadap tuduhan salahlaku dan mempertikaikan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa badan kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung ketika itu - Tan Sri George Seah dan Tan Sri Wan Sulaiman Pawan Teh - yang memutuskan bahawa tribunal itu tidak mengikut perlembagaan, turut dipecat.

Mahkamah Agung, yang kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan, merupakan mahkamah tertinggi negara ketika itu.

Selepas 18 tahun, pada Ogos tahun lalu, Salleh secara lantang menyokong desakan Majlis Peguam supaya dikaji semula krisis kehakiman yang berlaku pada tahun 1998. Bagaimanapun, kerajaan telah menolaknya.