Perwakilan Pemuda Gerakan angkat keris
Seorang perwakilan Pemuda Gerakan menggamatkan persidangan tahunan pergerakan itu di Kuala Lumpur hari ini apabila beliau mengangkat dua bilah keris 'gergasi' ketika menyampaikan ucapannya.
Seorang perwakilan Pemuda Gerakan menggamatkan persidangan tahunan pergerakan itu di Kuala Lumpur hari ini apabila beliau mengangkat dua bilah keris 'gergasi' ketika menyampaikan ucapannya.
Lian Teck Lai dari bahagian Kuala Kedah, mengangkat keris yang diperbuat daripada
styrofoam
yang bersaiz besar itu, sambil meniru gaya Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein menghunus keris.
Sebelum ini, Hishammuddin pernah menghunus keris sewaktu perhimpunan pergerakan Pemuda Umno tahun lalu dan tindakannya itu dikritik hebat oleh Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan.
"Saya mengangkat sepasang keris di sini bukan hendak melawan sesiapa, pun bukan untuk mencabar sesiapa, dan saya bukan hendak berjuang untuk sesiapa, (kepada) kawan-kawan di media, tujuan saya berlainan dengan Ketua Pemuda Umno.
"Saya hanya hendak menunjukkan satu simbol perpaduan untuk semua bangsa.
"Saya berharap bila Datuk Hishammuddin menghunus keris lain kali, beliau akan melaungkan perpaduan kepada semua rakyat Malaysia," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Oleh itu, Lian meminta para media supaya jangan menyalahtafsirkan tindakannya mengangkat sepasang keris tersebut.
Lulus 11 resolusi
Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Pemuda dan Wanita Gerakan meluluskan sejumlah sebelas resolusi, antaranya, meminta supaya usaha membanteras jenayah di negara ini dipertingkatkan berikutan kes jenayah yang membabitkan kanak-kanak dan wanita semakin meningkat.
Pemuda Gerakan meluluskan tujuh resolusi manakala Wanita empat.
Dalam resolusinya, Pemuda Gerakan mendesak kerajaan supaya meninjau dengan terperinci faktor asas dan latarbelakang sosial yang menyebabkan meningkatnya kadar jenayah selain merangka pendekatan berkesan untuk membanteras jenayah.
Pergerakan itu turut menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas membanteras gejala rasuah, memperbanyakkan program membantu golongan miskin di bandar dan luar bandar selain menggesa lebih banyak peruntukan disediakan bagi mendirikan lebih banyak taska prasekolah.
Pergerakan itu juga menggesa kerajaan agar menjadikan semua sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) dan SJK (Tamil) sebagai sekolah bantuan penuh tanpa syarat selain menggesa kerajaan mewujudkan suasana perniagaan yang lebih liberal bagi menarik lebih banyak pelaburan asing.
Wanita Gerakan pula dalam resolusinya menggesa kerajaan supaya meningkatkan keberkesanan pasukan polis dalam membanteras jenayah dengan memastikan rondaan dijalankan dengan rapi dan lebih kerap.
Mereka juga mahu bilangan anggota polis ditambah dan kajian dilakukan bagi mengkaji punca-punca jenayah selain mengambil tindakan segera mengatasinya.
Resolusi lain yang diluluskan oleh Wanita Gerakan ialah menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah mempertahankan matlamat-matlamat bersifat liberal dan demokratik; memastikan jentera pentadbiran negara berwibawa, berintegriti tinggi dan telus selain meminta Kerajaan Persekutuan mengambil langkah-langkah positif bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam struktur kuasa dan membuat keputusan.
Sejumlah 593 (48.13 peratus) daripada 1,232 perwakilan Pemuda dan 456 (44.06 peratus) daripada 1,035 perwakilan Wanita menghadiri persidangan tahunan masing-masing yang diadakan secara berasingan di ibu pejabat parti itu di sini.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.