Penegasan oleh Sultan Sultan Azlan Shah dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-Undang ke-14 semalam, sekaligus mengesahkan bahawa krisis kehakiman di Malaysia sudah berada di tahap yang begitu kronik, kata Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Ucapan baginda bahawa sudah sampai masanya negara ini menjalankan reformasi menyeluruh di dalam struktur dan prosedur kehakiman adalah penyelesaian paling tepat," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

"Baginda yang turut menyentuh betapa para hakim mestilah tidak boleh dipengaruhi - bukan sahaja pengaruh luar malahan pengaruh sesama hakim sendiri - jelas menggambarkan bahawa baginda turut

terkesan dengan krisis kehakiman yang begitu membarah di Malaysia," katanya.

Megenai kes video skandal perlantikan hakim yang melibatkan peguam VK Lingam dan juga penjawat Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, Dr Wan Azizah berkata, ia dijangka berakhir dengan memberi perlindungan kepada perasuah dan penjenayah.

"Keadilan sedari awal menggesa penubuhan satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim-hakim negara.

"Pun begitu usul yang saya bentangkan selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat atas alasan ianya tidak perlu disegerakan," katanya.

Sebagai langkah permulaan gesaan PKR kepada kerajaan ini, katanya, parti menyokong sebarang tindakan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melanjutkan kontrak Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara.

"Penglibatan Ahmad Fairuz - dalam keadaan beliau terus berdiam diri tanpa menafikan - dalam skandal perlantikan hakim ini, adalah satu batu tanda kepada terkuburnya integriti kehakiman Malaysia yang sudah

sekian lama parah dicabul eksekutif.

"Kerajaan semakin lesu untuk berhadapan dengan isu ini, Badan Pencegarah Rasuah (BPR) terus dipergunakan untuk melakukan intimidasi ke atas pemberi maklumat, keyakinan rakyat kian parah terhadap ketelusan sistem kehakiman negara," katanya.

Oleh itu, kata Dr Wan Azizah, sudah sampai masa dan ketika untuk rakyat menyandarkan harapan kepada Yang di-Pertuan Agong, dengan kuasa baginda untuk mengambil langkah pertama dengan memecat Ahmad Fairuz.

"Sistem demokrasi berparlimen negara terus terancam, justeru Keadilan merafak sembah ke bawah duli Yang di-pertuan Agong untuk terus tegas membersihkan sistem kehakiman negara," tambahnya.