| Bekas Adun: Pemaju sumbang secara sukarela |
Muda Mohd Noor
Nov 2, 07
7:27pm |
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani menjelaskan bahawa beliau tidak pernah meminta sumbangan dari seorang pemaju untuk menyokong kelulusan bagi permohonan mendapatkan tanah seluas 30.71 ekar di Mukim Merlimau, Jasin untuk projek perumahan.
Sebaliknya, tegas beliau, pemaju tersebut - Lui Tong Lam, 44 - melalui syarikatnya Asas Fleksi Sdn Bhd, yang secara sukarela menyumbangkan RM130,000 untuk mengisi tabung Umno Melaka dan Umno bahagian Jasin pada tahun 2003.
"Berani kerana benar...saya tidak takut kerana saya tidak pernah mendesak Lui memberi sumbangan tersebut," katanya ketika diminta mengulas tindakan Lui membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Dalam laporan polis yang dibuatnya pada 30 Oktober lalu, Lui mendakwa telah menyumbang RM130,000 termasuk RM50,000 untuk tabung politik Umno bahagian Jasin berhubung permohonan tanah di atas.
Ketika dihubungi hari ini, Abdul Aziz mengakui menerima wang tersebut tetapi menjelaskan ia atas dasar sumbangan Lui kepada Umno Jasin.
Katanya, Lui berbuat demikian sebagai ucapan terima kasih kerana permohonannya untuk memajukan tanah berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri.
Bencana tsunami
Bagaimanapun, kata Abdul Aziz, projek tersebut dibatalkan atas arahan kerajaan pusat selepas berlaku bencana tsunami pada Disember 2004.
"Saya sebagai Adun tiada kuasa untuk meluluskan atau membatalkan kerana ia kuasa kerajaan negeri.
"Saya dan Umno bahagian Jasin tidak pernah meminta derma atau sumbangan dari Lui, tetapi sebaliknya Lui yang beriya-iya mahu berbuat demikian," katanya.
Mengenai kegagalan Umno bahagian mengeluarkan resit penerimaan, Abdul Aziz berkata, hanya Badan Perhubungan Umno negeri yang boleh berbuat demikian.
Menurutnya, beliau tidak tahu menahu apa motif Lui membangkitkan perkara tersebut tetapi menyifatkan sebagai tuduhan berniat jahat.
Abdul Aziz berkata, wang sumbangan Lui dibelanjakan oleh Umno bahagian untuk pelbagai keperluan, termasuk mengadakan mesyuarat dan bantuan kepada penduduk kampung.
Tabung politik
Sementara itu, Lui ketika dihubungi malaysiakini mendakwa, daripada jumlah tersebut, RM80,000 adalah untuk Tabung Politik Umno Melaka dan RM50,000 lagi untuk Tabung Politik Umno bahagian Jasin.
Beliau mendakwa membuat bayaran tersebut, melalui syarikatnya Asas Fleksi Sdn Bhd, atas permintaan Abdul Aziz pada Mac 2003.
Bagaimanapun, katanya, Abdul Aziz tidak mengeluarkan resit penerimaan wang tersebut.
"Saya cuba mendapatkan sokongan sewaktu membuat permohonan kepada Majlis Daerah Jasin (MDJ) untuk memajukan satu kawasan tanah bakau di tepi pantai di Mukim Merlimau dalam daerah Jasin pada 2003," katanya.
Lui mendakwa Abdul Aziz berjanji boleh membantu mendapatkan kelulusannya dengan syarat membuat sumbangan tersebut. Tidak tidak lama kemudian, kata Lui, (MDJ) meluluskan permohonan tersebut.
Lui mendakwa berikutan itu, syarikatnya membayar premium RM100,000 kepada MDJ untuk mendapatkan surat kelulusan bagi memajukan tanah tersebut.
Laporan polis
Bagaimanapun, kata Lui, projek tersebut kemudian dibatalkan. Oleh itu, beliau menuntut Abdul Aziz supaya memulangkan wang tersebut.
Lui berkata, pada 2 Ogos 2005, peguam beliau telah menghantar surat kepada Abdul Aziz menuntut semula wang tersebut tetapi sehingga sekarang belum menerima jawaban.
Katanya, surat tuntutan serupa juga dihantar pada 8 Ogos 2005, tetapi juga tiada jawaban. Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Lui mendakwa, projek perumahan tersebut dibatalkan atas alasan kerajaan negeri tidak membenarkan pembangunan di atas kawasan hutan bakau.
Lui berkata, beliau membuat laporan tuduhan tersebut kerana merasakan dirinya telah ditipu dan tidak mahu ada pihak yang menuduh syarikatnya terlibat dengan rasuah. |
|
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
|
 |
| |
|
|
|