PM: Bersih cabar rakyat dan undang-undang
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kedegilan Bersih untuk tetap menganjurkan perhimpunan rakyat esok menunjukkan mereka telah mencabar undang-undang dan mencabar rakyat "yang mahukan negara kita aman, selamat dan stabil sepanjang masa."
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kedegilan Bersih untuk tetap menganjurkan perhimpunan rakyat esok menunjukkan mereka telah mencabar undang-undang dan mencabar rakyat "yang mahukan negara kita aman, selamat dan stabil sepanjang masa."
"Polis telah memaklumkan kepada saya akan ada satu perhimpunan haram oleh Bersih. Polis memberitahu saya permit tidak akan diberikan, tetapi nampaknya, daripada laporan yang saya dapat dari pelbagai punca, pihak yang menganjurkan masih mahu meneruskan apa yang mereka hendak buat.
"Mereka menunjukkan kedegilan dan tidak pedulikan undang-undang dan peraturan. Saya dukacita... apakah mereka mencabar kerajaan dan kepimpinan...," kata Abdullah yang juga Menteri Keselamatam Dalam Negeri.
Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno petang ini, beliau berkata: "Sebenarnya Bersih mencabar dan mengenepikan undang-undang, mereka mencabar rakyat yang mahukan negara kita aman, selamat dan stabil sepanjang masa.
"Itulah yang mereka cabar, bukan saya... tapi saya pandang dicabar. Bila polis kata jangan, mereka hendak (adakan) juga, tentukan akan berlaku sesuatu yang tidak baik, biasanya tindakan itu akan jadi kacau...
"Tengok apa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini, satu kejadian yang kita tidak dapat diterima, satu kejadian liar, bukan cara kita, bukan cara Malaysia, bukan cara demokrasi Malaysia, amalan demokrasi jalan, kita tidak dapat terima langsung," tegas Abdullah sambil berkata, ia bukanlah cara untuk membuat perubahan.
Katanya, apabila sesuatu berlaku hingga menyusahkan para kedai, restoran dan warung makan, maka mereka kan mendakwa supaya berpunca daripada polis supaya rakyat bencikan polis.
"Tapi sebenarnya, mereka yang menyebabkan semua ini, bukan polis. Kalau ikut undang-undang dan peraturan, tidak jadi begitu," katanya.
Perdana Menteri berkata, jika mahu perubahan, tunggu sehingga pilihanraya umum diadakan.
"Nak buat perubahan, apa perubahannya. Tunggu pilihanraya...apa nak takut pilihanraya...," kata Abdullah lagi.
Menurut beliau lagi pemintaan pihak pembangkang seperti penggunaan dakwat tidak boleh hilang untuk menyekat pemilih mengundi lebih daripada sekali telah diterima oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Di samping itu, katanya, SPR juga menyediakan tong undi yang telus cahaya yang boleh dilihat didalamnya dan lain-lain yang boleh mereka rundingkan dengan suruhanjaya tersebut.
"Tapi tabiat mereka kita tahu. Dalam pilihanraya yang mereka tidak ada peluang menang seperti di (pilihanraya kecil) Talam, mereka boikot dengan dakwa SPR menipu. Tapi (mereka) letak calon bebas, senyap-senyap undi dan kempen untuk calon bebas (itu).
"Tapi di (pilihanraya kecil) Macap dan Ijok (di mana) mereka rasa rasa boleh menang, mereka bertanding, tidak timbul soal SPR lagi. Di Macap DAP bertanding, di Ijok Keadilan (PKR) letak calon...keputusannya kita menang dengan undi yang lebih baik lagi," kata Abdullah sambil menambah bahawa rakyat tidak boleh diperdayakan.
Perdana Menteri berkata, kalau mahu mempersoalkan tentang keadilan dalam pilihanraya, sudah tentu tidak ada satu negeripun yang dimenangi oleh pembangkang.
"Di Kelantan dah berapa kali mereka (pembangkang) menang. Di Terengganu mereka menang, lepas tu kita menang pula. Di Sabah pun begitu juga...mereka boleh menang.
"Kalau kita control (kuasai) semuanya, jangan harap (pembangkang) boleh menang, tapi itu bukan cara kita, tapi kita mahu rakyat bagitahu kita sama ada mereka mahukankita...Orang Kelantan tak mahu kita, apa nak buat, kerana kita hormati pilihanraya. Inilah SPR yang ada selama ini, SPR itu juga.
"Ada masa kita menang, ada masa kita kalah, ada masa mereka menang, ada masa mereka kalah...kita rela hadapi pilihanraya bila tiba masanya," katanya.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.