Khir Toyo cari publisiti, kata MP Umno Kuala S'gor
Ahli Parlimen Barisan Nasional Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep berkata kerajaan negeri sepatutnya memberi pendidikan kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal membaiki prestasi mereka, dan bukannya menghukum mereka dengan sebatang penyapu.
Ahli Parlimen Barisan Nasional Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep berkata kerajaan negeri sepatutnya memberi pendidikan kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal membaiki prestasi mereka, dan bukannya menghukum mereka dengan sebatang penyapu.
Beliau bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik Umno yang menganggap tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo memberikan penyapu kepada PBT yang gagal membaiki prestasi sebagai satu penghinaan kepada kakitangan kerajaan.
Malah, Mohd Daud (kanan) menganggap tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan sesuatu yang pelik yang tidak pernah dibuat oleh orang lain.
"Tindakan Mohd Khir tersebut boleh dianggap sebagai untuk mencari publisiti untuk dirinya sendiri," katanya sambil menegaskan bahawa tidak diketahui apakah tujuan sebenar Mohd Khir berbuat demikian.
"Adakah elok, kakitangan yang berjaya diberi peluang melawat luar negara, manakala yang kurang dihadiahkan penyapu?" katanya.
Kelmarin Mohd Khir (kiri) yang juga pengerusi Umno Selangor, memberikan sebatang penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor di majlis anugerah Bulan Kualiti 2007 di Shah Alam, Isnin lalu. sebagai 'hukuman' kerana gagal membaiki prestasi".
Mohd Daud berkata, respons awal dari penduduk Kuala Selangor ialah mereka membantah pemberian hadiah penyapu tersebut.
Perlekeh kakitangan
Katanya, beliau sendiri sebagai seorang ahli Parlimen dan penyokong kuat Umno tidak tahu menahu tujuan pemberian penyapu tersebut.
"Saya tidak pernah diajak berbincang mengenai keputusan kerajaan negeri untuk memberikan penyapu kepada PBT yang gagal membaiki prestasi.
"Mungkin penilaian itu dibuat oleh panel penilaian yang dilantik oleh kerajaan negeri sendiri," katanya lagi.
Pandangan Mohd Daud turut disokong oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (foto).
Mohd Azmi berkata, pemberian sebatang penyapu itu menyebabkan masyarakat setempat akan memandang serong dan memperlekehkan kakitangan PBT terbabit.
"Bagi saya ia bertujuan untuk mengaibkan kakitangan kerajaan. Secara tidak langsung menjatuhkan moral mereka. Mohd Khir mungkin menganggap mereka pekerja PBT berkenaan seperti budak-budak sekolah.
Ikut prosedur biasa
"Tetapi adakah cara ini satu tindakan yang bijak? Mengapa tidak mengambil tindakan yang sedia ada seperti menggantung gaji atau menurunkan pangkat seperti yang selalu diamalkan dalam perkhidmatan awam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Azmi mahu Mohd Khir menghentikan segera tindakan tersebut dan bertindak mengikut peraturan yang sedia ada.
Sementara itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faris Musa (foto) berkata, memberi penyapu merupakan amalan yang tidak baik dan ia perlu dihentikan segera.
Katanya, cara yang lebih baik ialah membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas PBT yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.
"Tentu ada faktor yang menyebabkan kegagalan PBT terbabit seperti berlakuknya penyalahgunaan kuasa, penyelewengan atau pun rasuah," katanya.
Beliau berkata, pekerja perlu diberi motivasi dan kaunseling dan bukannya hukuman yang boleh menjejas prestasi kerja dan mengaibkan mereka.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.