-    +  
Adjust font size:
S'jaya diraja: K'jaan mesti tunai jaminan, kata AMK
Nov 21, 07 4:38pm

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mahu kerajaan berpegang kepada jaminannya bahawa suruhanjaya diraja yang akan ditubuhkan untuk menyiasat klip video Lingam akan mempunyai kuasa untuk memanggil semua individu yang terlibat.

Ia demi memastikan siasatan kes itu terjamin adil dan saksama, kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai mengulas jaminan yang diberikan oleh Menteri Halehwal Keselamtan Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Radzi adalah antara tiga menteri kabinet yang dilantik untuk mengkaji laporan panel khas yang ditugaskan menentukan kesahihan klip video tersebut.

Dua orang lagi menteri itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim. Ketiga-tiga mereka mempunyai latarabelakang perundangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shamsul Iskandar berkata, AMK menyambut baik penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu.

Katanya, ia memberikan konotasi jelas bahawa pendedahan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai wujudnya skandal pengaturan perlantikan hakim dan elemen korupsi di dalamnya adalah satu perkara yang jelas dan sahih, bukan sekadar propaganda politik sebagaimana diwar-warkan oleh kalangan elit politik pemerintah.

Teruskan siasatan

AMK juga, tegasnya, melihat pendedahan adik peguam Datuk VK Lingam, sebagai sesuatu yang perlu dipandang serius oleh kerajaan mahupun suruhanjaya yang bakal diumumkan kelak.

"Meskipun Lingam menyatakan bahawa adik beliau, Thirunama Karasu 'menghadapi masalah mental', sebagai pengamal perundangan, kenyataan tersebut perlu dihalusi dengan pembuktian munasabah, bukan sekadar membuat kenyataan umum," tambah Shamsul Iskandar.

Melihat kepada perkembangan ini, katanya AMK melihat ada kewajaran yang mendesak agar pihak berkuasa termasuk polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk terus mendapatkan kenyataan individu-individu yang berkenaan atas kesalahan rasuah dan salahguna kuasa, tanpa perlu menunggu sehingga suruhanjaya tersebut ditubuhkan.

"Meskipun penubuhan suruhanjaya ini dialu-alukan, ada keperluan segera bagi polis dan BPR menjalankan siasatan terperinci bagi melicinkan urusan penyiasatan ini, berdasarkan kepada bukti-bukti dan laporan polis yang dikemukakan oleh pimpinan Keadilan serta Thirunama sendiri sebelum ini.

"Wajar diingatkan, AMK konsisten sedari awal bahawa setiap perkembangan penyiasatan skandal ini, perlu menumpukan kepada isu-isu akar mengenai salahguna kuasa yang mencemarkan integriti kehakiman, bukan sekadar menyiasat siapakah sumber yang mendedahkan skandal ini," katanya.

Menurut Shamsul, rakyat terus memerhatikan sejauhmana inisiatif kerajaan membersihkan sistem kehakiman negara yang menurtnya kian parah.



Advertisement

Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner