Parti kaum India yang baru ditubuhkan - Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) - hari ini untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional kerana percaya, dengan berbuat demikian, peluang untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India akan menjadi lebih baik.
Presidennya, Datuk KS Nallakarupan menyatakan demikian di hadapan para penyokongnya di majlis pelancaran parti itu di Hotel Istana, di Kuala Lumpur.
Kita percaya matlamat parti itu masih boleh dicapai dengan bekerjasama rapat dengan kerajaan BN.
Kita sebagai sebuah parti boleh mengambil pendekatan baru dalam menyelesaikan masalah masyarakat India," katanya kepada kira-kira 800 penyokongnya.
Bekas pemimpin PKR itu juga berkata, kehadiran MIUP akan memberi nafas baru untuk membawa perubahan segera untuk kebaikan masyarakat India.
Namun, kata Nallakaruppan, pihaknya tidak berniat untuk merendah-rendahkan parti MIC yang merupakan anggota komponen BN.
Kita juga tidak mengatakan yang parti kaum India dalam Barisan Nasional tidak melakukan tugasnya untuk membantu masyarakat tersebut.
Saya pasti, ia melakukan apa yang termampu untuk membantu masyarakat tersebut. Tetapi saya rasa kita boleh buat lebih baik lagi," tambahnya.
Sekolah menengah
Nallakaruppan berkata, MIC harus meneruskan agenda dan MIUP pula akan menumpukan terhadap misinya, walaupun pendekatan kedua-dua parti itu terhadap isu-isu adalah berbeza. Apa salahnya ada sebuah lagi parti berasaskan kaum? Anda ada MCA dan Gerakan (kedua-duanya parti berasaskan kaum Cina) dan MIC serta Barisan Progresif Rakyat (kedua-dua parti berasaskan kaum India), semuanya dalam BN, jadi mengapa MIUP juga tidak boleh bersama BN," tegasnya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai 'pendekatan baru' itu, Nallakaruppan berkata, partinya telah menggariskan beberapa program sosial bagi menangani masalah masyarakat India.
Kita telah memperkenalkan beberapa program seperti sukan, pendidikan dan banyak program berorientasikan belia bagi menanam produktiviti dalam masyarakat India supaya mereka boleh berintegrasi dengan baik bersama kaum-kaum lain di negara ini," katanya.
Beliau juga berkata, partinya akan melancarkan terlebih dahulu perancangannya untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah independen Tamil tidak lama lagi.
Ditanya sama ada MIUP akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, Nallakaruppan berkata partinya tidak akan bertanding.
Saya menumpukan kepada usaha mempromosi parti sahaja sahaja. Walaupun jika BN beri kerusi untuk bertanding, saya tidak akan menerimanya. Saya hanya mahu parti saya dikenali terlebih dahulu," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran partinya itu.
Guna saluran betul
Nallakaruppan juga enggan mengulas soalan mengenai perhimpunan Hindraf hari ini, dengan berkata beliau hanya mahu menumpukan kepada majlis pelancaran partinya.
Ini adalah hari yang bersejarah dalam politik Malaysia dan hari yang penting bagi saya dan parti saya. Saya tidak mahu bercakap mengenai perhimpunan Hindraf," katanya.
Beliau bagaimanapun berpendapat, masyarakat India mesti mematuhi undang-undang dan menggunakan saluran yang betul jika mahu menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.
Kira-kira 30,000 orang menyertai perhimpunan Hindraf di Menara Berkembar di Kuala Lumpur selepas usaha mereka untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British dihalang oleh polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air kimia.
Perhimpunan itu diadakan untuk menyokkong saman AS$4 trillion (RM14-trillion) yang difailkan oleh Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) terhadap kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaysia untuk menjadikan buruh dan dieksplotasi selama 150 tahun. Berita asal