Ahli Parlimen MIC, K Devamany akan menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenyataannya mengenai perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) Ahad lalu.
Semalam, ahli Parlimen Cameron Highlands itu didakwa mempertikaikan dasar kerajaan terhadap masyarakat India di negara ini yang menurutnya dicerminkan oleh perhimpunan Hindraf Ahad lalu.
Bercakap dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, Devamany dijadual menemui Najib, yang merupakan ketua wip Barisan Nasional (BN) Khamis ini.
Ditanya mengapa Devamany perlu bertemu ketua wip sedangkan beliau berhak menyuarakan pandangannya, Nazri berkata, dalam laporan media, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menafikan bahawa partinya tidak melakukan apa-apa untuk kaum India, parti yang diwakili oleh Devamany.
Menurut Nazri lagi, jika Devamany mempertikaikan kenyataan Samy itu, maka adalah lebih baik baginya mengundurkan diri dari parti tersebut.
Menteri itu berkata, MIC sentiasa menjadi rakan kongsi yang kuat dalam Barisan Nasional (BN).
Devamany, semasa mencelah jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Raman Suliman, berkata angka penyokong perhimpunan anjuran Hindraf yang mencecah ribuan orang, menunjukkan ketidakpuasan hati masyarakat India di negara ini berada di tahap serius.
Pandang serius
"Ini satu kegagalan, jadi saya rasa perkara ini harus dipandang secara serius," kata Devamany sehingga menimbulkan reaksi tidak bersetuju di kalangan anggota Parlimen BN.
Devamany sekali lagi membangkitkan perkara itu ketika Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum menjawab persoalan mengenai pengambilan anggota polis di kalangan kaum India.
Ditanya sama ada, sebarang tindakan terhadap Devamany akan menjadikannya hero kepada masyarakat India, Nazri berkata mereka yang melanggar peraturan mesti berdepan dengan hukuman.
"Apakah kita perlu membiarkan Robin Hood hanya kerana beliau seorang hero. Dia merompak yang kaya untuk membantu yang miskin, tetapi dia tetap melanggar undang-undang," katanya.
"Mungkin beliau harus mengundurkan diri dari parti (MIC) dan sertai parti yang baru ditubuhkan, yang percaya memerlukan seorang timbalan presiden," katanya merujuk kepada Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) yang ditubuhkan oleh Datuk S Nallakarupan.
Beliau turut membidas Devamany kerana meletakkan MIC dalam kedudukan yang sukar dan menggesanya supaya bersama-sama majoriti orang India yang tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.
"Kita mempunyai seorang ahli Parlimen MIC yang mempertikaikan pendirian parti dalam beberapa isu. Ini serius," tegas Nazri.
Dewan tolak usul
Sementara itu, Dewan Rakyat hari ini menolak usul M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) bagi menangguhkan sidang untuk membincangkan perhimpunan Hindraf Ahad lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib yang menerima usul itu semalam, menolak usul itu atas alasan ia tidak perlu disegerakan.
"Polis telah menolak permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan itu dan perintah larangan mahkamah juga dikeluarkan kerana dikhuatiri ia akan menganggu-gugat orang ramai.
"Polis juga sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu... jadi saya menolak usul ini," katanya.
Kulasegaran ketika mengemukakan usul itu mendakwa polis bertindak keterlaluan dengan menembak gas pemedih mata dan pancutan air ke atas mereka yang menghadiri perhimpunan haram itu.
"Lebih daripada 450 masyarakat India ditahan dan mengalami kecederaan serius," katanya.
Kulasegaran berkata penggunaan alat yang berbahaya adalah satu bukti mendiskriminasikan masyarakat India dan menyebabkan dua juta komuniti India berasa sedih serta marah. |