kerajaan sehingga ini tidak bercadang untuk mengarahkan stesen televisyen satelit Al-Jazeera berhenti beroperasi di Malaysia kerana menyiarkan isu-isu yang memburukkan imej negara, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.
Zainuddin dipetik oleh Bernama sebagai beberapa buah negara Arab telah menutup pejabat Al-Jazeera di negara masing-masing atas masalah yang sama.
Zainuddin berkata perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Menteri Penerangan Mesir, Anas Ahmed Nabeeh El-Feky kepada beliau dalam satu pertemuan di Kaherah Rabu lalu.
Bercakap dengan pemberita Malaysia selepas pertemuan tersebut, Bernama memetik Zam sebagai berkata:
"Malah pernah mengambil tindakan termasuk memenjarakan wartawan Al-Jazeera kerana laporan yang tidak benar".
Oleh itu, kata Zainuddin, bukan Malaysia sahaja yang menghadapi masalah di mana stesen televisyen tersebut mengambarkan perkara-perkara negatif dan buruk, tetapi ia juga dialami oleh beberapa buah negara Arab sendiri.
Zainuddin berkata Mesir juga menghadapi beberapa insiden di mana stesen televisyen satelit itu telah memainkan beberapa isu yang tidak tepat dengan apa yang sebenarnya berlaku.
"Mesir dan beberapa buah negara Arab yang lain menghadapi perkara yang sama di mana beberapa insiden yang berlaku di negara terbabit diberikan gambaran yang lebih buruk daripada apa yang sebenarnya berlaku oleh Al Jazeera," katanya.
Beri amaran
Zainuddin berkata di Mesir, jika Al-Jazeera membuat laporan yang lebih buruk daripada kejadian sebenar, kerajaan Mesir akan memberikan amaran kepada stesen televisyen satelit itu.
Sehubungan itu, Zam meminta rakyat Malaysia perlu bijak membuat penilaian terhadap berita yang disampaikan bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak benar.
Sebelum ini, Zainuddin Maidin mengecam Al Jazeera yang didakwanya membuat pertanyaan mengikut persepsi yang salah berhubung kejadian perhimpunan rakyat menuntut pilihanraya bersih dan adil pada 10 November lalu.
Beliau menolak dakwaan stesen televisyen tersebut bahawa polis bertindak keras terhadap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.
Malah, Zainuddin menuduh Al-Jazeera telah mempunyai persepsi sendiri sebelum datang ke Malaysia dan menambah: "Malaysia bukan Myanmar dan bukan Pakistan, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi."
Zainuddin dilaporkan berkata kebanyakan penonton di Malaysia ketawa melihat kelakuan dan aksi wartawan Al Jazeera yang cuba memberikan gambaran seolah-olah tunjuk perasaan itu begitu buruk dengan menjerit-jerit sehingga terasa kepada mereka ia bukan keadaan yang sebenarnya.
Beliau juga mengecam Al Jazeera kerana hanya mengambil wartawan yang diketahui pro-pembangkang untuk mendapatkan pandangan tetapi tidak di pihak kerajaan.
|