Pemantau bebas pilihanraya - Badan Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas (Mafrel) membuat keputusan untuk memohon bantuan dana kerajaan bagi menjalankan kegiatannya, tetapi menafikan ia akan menjejaskan pendirian berkecualinya selama ini.
Cadangan untuk memohon bantuan dana kerajaan itu dilaporkan dibangkitkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam satu pertemuan pada 19 November lalu.
Mafrel mengambil keputusan untuk menerima cadangan pengerusi SPR itu.
Pengerusi Mafrel, Abdul Malek Hussin berkata hari ini bahawa badan pemantau itu mengambil keputusan tersebut dalam mesyuarat lembaganya Rabu lalu.
"Kami berpandangan bahawa kerja-kerja Mafrel adalah penting untuk negara dan rakyat, jadi kami sepatutnya mendapat bantuan dana awam," katanya kepada Malaysiakini.
